Rabu, 1 Ogos 2012

BN perlu jamin tidak runding dengan syarikat Syed Mokhtar hingga selesai PRU


KUALA LUMPUR — Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberikan jaminan untuk tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan Seaport Terminal (Johor) sehingga lepas pilihan raya umum akan datang.

Jelas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tindakan itu bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang menentukan sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan rancangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang.

Dipetik laporan The Malaysian Insider hari ini, kerajaan persekutuan dipercayai sedang melambatkan penjualan Pelabuhan Pulau Pinang kepada taikun logistik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar) sehingga selepas pilihan raya umum kerana khuatir wujudnya tentangan daripada rakyat terhadap perjanjian ini dan  akan menjejaskan undi kepada BN.

“BN harus memberi jaminan bahawa mereka tidak akan menandatangani atau memuktamadkan apa-apa perjanjian dengan Seaport sehingga selesai pilihan raya umum yang akan datang.

“Ini bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang menentukan sama ada mereka bersetuju dengan penswastaan ini atau menolak pelanunan Pelabuhan Pulau Pinang kepada kroni BN,” jelas Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau juga turut menegaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang menolak penswastaan PPP atas lima sebab; tiada tender terbuka, tiada penafian Menteri Kewangan atau Menteri Pengangkutan bahawa PPP bakal menjadi pelabuhan pengantar; tiada peruntukan untuk mendalamkan saluran pelabuhan, berjumlah RM353 juta; tiada rundingan awam dengan pihak berkepentingan; dan terakhir tiada kata putus bagaimana penswastaan ini akan memanfaatkan rakyat Pulau Pinang dan menjadikan PPP pelabuhan bertaraf antarabangsa.

“Ianya sebab kukuh untuk kami menolak dan antara isu utama yang akan ditentukan oleh rakyat Pulau Pinang dalam pilihan raya umum sama ada mereka menyokong penswastaan atau menolak pelanunan terhadap harta awam.

“Antara sebab lain kerajaan tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian dengan Seaport adalah kerana supaya kerajaan persekutuan PR yang baru tidak akan dibelenggui kesulitan undang-undang dalam usaha untuk membatalkan perjanjian tersebut,” jelas Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga turut menjelaskan, BN harus buktikan bahawa mereka mengutamakan kepentingan rakyat Pulau Pinang dengan membuat kerja korek sekarang, di mana RM353 juta kos untuk mengorek harus dibiayai oleh kerajaan persekutuan seperti yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan 10.

“Dalam semangat demokrasi, biarlah rakyat Pulau Pinang menentukan dalam pilihan raya umum yang akan datang sama ada mereka menyokong atau menolak penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport seperti yang dicadangkan BN,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: