Jumaat, 10 Ogos 2012

Bekalan Wang Kertas Baru Mencukupi - Bank Negara




PETALING JAYA: Bekalan wang kertas baru untuk memenuhi permintaan semasa musim perayaan bagi tujuan pembayaran dan transaksi perniagaan adalah mencukupi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

"Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bekalan wang kertas baru adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa musim perayaan," menurut kenyataan itu.

Justeru, semua bank perdagangan dikehendaki memastikan cawangan masing-masing mempunyai bekalan wang kertas mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang kesukaran untuk mendapatkan wang kertas baru boleh menghubungi talian 03-26907613, 03-29698804 sambungan 7402/8658 atau emel ke ncs@bnm.gov.my.

Wang kertas siri baru yang terdiri daripada denominasi RM100, RM20, RM10, RM5 dan RM1 memasuki edarannya pada 16 Julai lalu menerusi bank-bank, pasar raya dan kedai runcit.

Wang kertas itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna.

Ia turut diberi sentuhan warna terang dan bermotifkan ciri-ciri mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara.

Baru-baru ini, orang ramai meminta Bank Negara menambah edaran wang kertas siri baru itu terutama wang kertas RM20 di pasaran agar ia dapat digunakan secara lebih menyeluruh pada musim perayaan.

Malah, rata-rata mereka mahu menjadikan wang kertas baru tersebut sebagai duit raya agar sambutan Aidilfitri nanti lebih ceria dan meriah.

Tiada ulasan: