Rabu, 8 Ogos 2012

Aktivis mahasiswa UM bebas tuduhan halang anggota polis

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR : Aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM), Mohd Bukhairy Mohammed Soffian dibebas dan dilepaskan dari dakwaan menghalang anggota polis semasa menjalankan tugas pada Januari lalu.

Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Latheefa Koya ketika dihubungi berkata, pertuduhan ke atas anak guamnya itu gagal dibuktikan, oleh itu mahkamah tidak dapat mensabitkan beliau dalam kes ini.

“Majistret Parvin Hameedah Natchiar pagi ini telah membebaskan dan melepaskan Bukhairy tanpa pembelaan dari pertuduhan Seksyen 186 – menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie,” kata Latheefa yang juga Pengarah Guaman KEADILAN.

Seorang lagi peguam LFL yang mewakili Bukhairy adalah Afiq Mohd Noor.

Bukhairy ditangkap di Masjid Ar Rahman berdekatan UM pada 6 Januari lalu kira-kira jam 11.15 pagi beberapa hari sebelum keputusan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ditahan reman empat hari dan diikat jamin RM2,000 walaupun menyatakan beliau akan menduduki peperiksaan ketika itu.

Bukhairy mula diganggu polis sejak kejadian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember tahun lalu apabila 450 mahasiswa dan anak muda termasuk beliau mengemukakan memorandum kebebasan akademik berhubung gesaan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (Auku) kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Tiada ulasan: