Isnin, 27 Ogos 2012

Air Percuma Mentari Court : Penduduk Dinasihat Desak JMB Sertai Program Lapor Dan Dapat




SHAH ALAM  :  Penduduk di Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya dinasihat mendesak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Corporation (MC) supaya cepat menyertai Program Lapor Dan Dapat bagi mendapatkan 20 meter padu air percuma.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata ia boleh dilakukan dengan mengisi borang yang khas yang disediakan.

“Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, dalam kes Pangsapuri Mentari Court itu, proses migrasi adalah di peringkat akhir.

“Sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan.

“Kerajaan Negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakkan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma.

Perkara itu saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas,” katanya.
Jelas beliau lagi, pada awalnya Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan.

Tetapi setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas bersetuju agar peratus ini dikurangkan.

Dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membenarkan dua sistem di dalam sebuah pangsapuri.

Iaitu, satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu.

Ini bermakna bagi pemilik yang tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu.

Sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan dua program iaitu Program Kupon Air dan Program Lapor Dan Dapat untuk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma.

Program Kupon Air ini terlalu rumit dan  digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini.

“Setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu.

“Selepas ini, Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang,” katanya.

Tiada ulasan: