Khamis, 23 Ogos 2012

Aidilfitri pertama si kembar siam

Wartawan Sinar Harian

Aidilfitri pertama si kembar siam
Noraini memangku Wanie dan Rinie yang comel berbaju raya sambil diperhatikan Zulkifli dan dua lagi anak mereka sementara menunggu ketibaan saudara mara beraya di rumah mereka
 
Aidilfitri pertama si kembar siam
Nur Sabrina (kiri) dan Nur Nasuha bermain serta membelai adik kesayangan mereka.
 
Aidilfitri pertama si kembar siam
Noraini memakaikan baju raya kembarnya pada 1 Syawal lalu.
 
Aidilfitri pertama si kembar siam
Rinie (kiri) bergurau dengan memegang botol susu kakaknya, Wanie.
 
KEMAMAN – “Susah juga nak cari baju raya untuk Wanie dan Rinie dengan keadaan dada mereka bercantum, jadi terpaksalah beli baju berbutang di depan,” demikian kata Noraini Mohamad, 32, yang gembira melihat bayi kembar siamnya memakai baju raya buat pertama kali.

Aidilfitri tahun ini sangat bermakna buat Noraini sekeluarga kerana bukan sahaja dapat beraya di rumah baru, malah kelahiran Nur Shazwanie Zullkifli dan Nur Shazrinie, 11 bulan, menyerikan suasana walaupun pelbagai liku terpaksa diharungi sebelum ini.

Biarpun agak sukar mencari pakaian raya bersesuaian, namun ia tidak membatasi pasangan kembar siam pertama di Terengganu ini menggayakan baju baru pada pagi Syawal yang hening kerana baju berbutang di depan boleh dipakai mereka.

Tiada saiz kasut, stoking sepadan

SEBANYAK tiga pasang pakaian baru dibeli oleh ibu saudara pasangan kembar siam ini tetapi kasut mereka tidak dapat dibeli berikutan tiada saiz kerana kaki kedua-dua bayi ini terlalu kecil dengan berat badan mereka hanya lapan kilogram.

Noraini berkata, dia dan suaminya, Zulkifli Ngah, 42, sebelum ini juga mahu membelikan stoking untuk bayinya itu tetapi stoking yang bersaiz paling kecil pun tidak padan dengan bayinya.
“Tak mengapalah kalau kasut dan stoking tiada saiz, lihat mereka mengenakan baju raya pun sudah memadai.

“Saya juga bersyukur apabila lihat Wanie dan Rinie semakin sihat dan ceria selain berat badan mereka juga makin bertambah berbanding dua bulan lalu iaitu 6.3 kilogram,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumah baru mereka di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Bukit Kuang, dekat sini, pada 1 Syawal lalu.

Noraini memberitahu, bayi kembarnya itu juga sudah boleh menerima pelbagai makanan selain minum susu.

“Saya suapkan mereka dengan makanan tambahan iaitu bijirin Nestum, roti dan bubur agar berat badan mereka bertambah dan badan lebih berisi,” katanya.

Mereka sekeluarga mula mendiami rumah baru pemberian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sejak dua bulan lalu dan sejak berpindah kedua-dua kembar siam tersebut yang bergantung pada alat bantuan pernafasan kian aktif.

Selain Wanie dan Rinie yang masing-masing mempunyai tiga pasang baju raya, dua kakak mereka Nur Sabrina, 8, dan Nur Nasuha, 7, turut memiliki tiga pasang baju raya yang juga dibelikan ibu saudara mereka.

Nasi minyak hidangan 1 Syawal

NORAINI turut menyediakan juadah nasi minyak sebagai hidangan 1 Syawal untuk saudara mara dan sahabat handai yang bertandang ke rumah mereka terutama bagi mereka yang mahu melihat perkembangan Wanie dan Rinie.

Kata ibu empat anak ini, mereka sekeluarga tidak dapat keluar kerana Wanie dan Rinie tidak boleh keluar rumah justeru mereka hanya menyambut tetamu di muka pintu rumah.

“Celoteh Wanie (kakak) dan Rinie (adik) menghiburkan, mereka bermain dan bergurau sesama sendiri kadang-kadang si adik tarik telinga si kakak dan si kakak pegang botol susu si adik,” katanya.

Tarikh bedah belum diputuskan

SEMENTARA itu, ketika ditanya mengenai pembedahan untuk memisahkan bayi kembarnya itu, Noraini berkata, tarikhnya belum diputuskan dan kedua bayi kembarnya itu akan mendapatkan rawatan dengan pakar di Hospital Kemaman pada 5 Oktober nanti.

“Tarikh bedah belum tahu lagi lagipun untuk jalankan pembedahan mereka berdua perlu sihat sepenuhnya,” katanya.

Wanie dan Rinie dilahirkan kira-kira jam 11 pagi, 22 September tahun lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan sejak dilahirkan, mereka terpaksa membesar di hospital selama lima bulan berikutan tiada rumah sesuai untuk didiami sebelum menumpang rumah ibu saudara mereka di Bukit Kuang dan sejurus itu keluarga ini berpindah ke rumah baru tidak jauh dari situ.

Tiada ulasan: