Khamis, 9 Ogos 2012

AES: Dedah lokasi kamera atau tangguh perlaksanaan

Muhammad Faizal,

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mendesak kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) menyatakan lokasi pemasangan kamera Sitem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff yang dihubungi menyatakan lokasi-lokasi AES perlu dimaklumkan kepada pengguna jalanraya kerana ia bukannya rahsia melainkan jika kerajaan ingin mengaut keuntungan.

"KASE desak pihak kerajaan menyatakan lokasi di mana AES dipasang bagi seluruh negara.

"Ini bertepatan di mana kerajaan telah nyatakan bahawa kamera tersebut bukan suatu yang rahsia kerana setiap 500 meter sebelum lokasi kamera papantanda amaran akan diletakkan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Namun tegasnya, walaupun telah ada papan tanda, kita tetap mahukan lokasi tepat di mana kamera tersebut dipasang bagi untuk pengetahuan pengguna.

"Kerajaan tidak perlu berselindung kerana kerajaan sendiri menyatakan tujuan utama pemasangan kamera adalah untuk mendidik pengguna jalanraya bagi mematuhi undang-undang.

"Kalau kerajaan tetap tidak mahu menyatakan lokasinya dengan tepat, KASE mahukan supaya kerajaan menangguhkan perlaksanaannya pada 12 Ogos ini ke tarikh yang lain.

Pada 31 Julai lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan Sitem Penguatkuasaan Automatik (AES) kini sedang dalam fasa ujian dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 12 Ogos ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengesan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lalulintas.

Menurut laman web JPJ, jumlah kamera tersebut adalah sebanyak 1,081 di mana 566 kamera untuk mengesan hadlaju, 265 kamera untuk lampu isyarat manakala 250 ialah kamera mudah alih.

Tiada ulasan: