Selasa, 7 Ogos 2012

3 tahanan ISA dibebas hasil kempen berterusan GMI

Syed Ibrahim Syed Noh

GMI mengalu-alukan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang telah membebaskan tiga orang tahanan ISA pada minggu ketiga Julai yang lepas. GMI  percaya ini adalah hasil daripada kempen berterusan GMI dan rakyat Malaysia untuk membebaskan 45 tahanan dan hasil daripada mogok lapar yang dibuat oleh tahanan di Kamunting.

Menurut sumber GMI, mereka yang dibebaskan ialah:

1. Loganthan A/L Sanmugam, Warganegara Malaysia, ditahan pada tahun 2010 kerana pemerdagangan manusia

2. P Valentine Jayakumar, Warganegara Sri Lanka ditahan pada tahun 2010 kerana pemerdagangan manusia

3. Malik Rehmat Ali Syakir, Warganegara Pakistan, ditahan pada tahun 2010 kerana pemerdagangan manusia

Menurut maklumat yang GMI miliki, tempoh tahanan ketiga-tiga mereka sepatutnya hanya akan tamat pada bulan Ogos, September dan Disember ini. Kini seramai 42 tahanan masih ditahan di Kem kamunting, 19 Warganegara Malaysia, 6 Warganegara Indonesia, 5 Warganegera Sri Lanka, 3 Warganegara Pakistan, 2 Warganegara India, 1 Warganegara Bangladesh, 2 Warganegara Iraq dan 3 Warganagera Filipina.

Pembebasan ini juga telah disahkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan Dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri, En Aswanjaya Abd karim. Menurut beliau, ketiga-tiga tahanan dibebaskan oleh Menteri Dalam Negeri hasil daripada laporan keselamatan yang diserahkan kepada pihak Menteri.



Namun, GMI tetap mengutuk tindakan Menteri yang melakukan pembebasan yang terpilih. Persoalanya, bagaimana dengan tahanan yang lain? Bukankah mereka seharusnya dibebaskan sedangkan ISA sudahpun dimansuhkan? Apakah motif pembebasan yang terpilih ini? Menteri harus membebaskan kesemua tahanan ISA yang lain dengan serta merta.

Pembebasan awal bukti tuntutan rakyat berasas

Pembebasan awal ini menunjukkan tuntutan GMI yang mewakili suara rakyat Malaysia sememangnya berasas. Menteri Dalam Negeri memiliki kuasa penuh untuk membebaskan tahanan walaupun perintah tahanan belum tamat. GMI tidak melihat sebarang sebab yang rasional untuk Menteri Dalam Negeri tidak membebaskan kesemua tahanan yang lain.

Melalui perhubungan pihak GMI dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan ISA tidak mengetahui perkembangan siasatan yang dibuat ke atas mereka. Bahkan mereka seolah-olah hanya dikurung tanpa dijelaskan mengenai proses yang sedang dan akan mereka lalui.  Mereka sekadar dikurung dan hanya menunggu tarikh tamat perintah tahanan.

Menteri boleh bebaskan semua tahanan lebih awal

GMI menggesa Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan semua 42 tahanan yang lain. GMI juga ingin mengetahui alasan pihak KDN mengapa tahanan yang lain tidak boleh dibebaskan lebih awal. Jawapan yang diberikan oleh Menteri sebelum ini iaitu semua tahanan perlu mengikuti tempoh perintah tahanan sudah tidak lagi relevan.

Jika alasan yang diberikan ialah risiko keselamatan, GMI tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang logik memandang tahanan telah dikurung melebihi satu tahun dengan kawalan ketat daripada Kemta. GMI juga mencadangkan agar Menteri membentangkan kepada umum mengenai kayu ukur dan kaedah yang digunakan KDN untuk menilai samada seseorang tahanan itu memberi risiko keselamatan atau tidak.

Syed Ibrahim Syed Noh.Pengerusi GMI.

Tiada ulasan: