Selasa, 31 Julai 2012

Untung 6 bulan Bank Rakyat RM1.06 bilion

SINAR HARIAN

Bank Rakyat
Bank Rakyat 
 
 
KUALA LUMPUR - Bank Rakyat terus cemerlang dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang membanggakan bagi setengah tahun pertama 2012 sebanyak RM1.06 bilion, peningkatan 7.7 peratus atau RM75.8 juta berbanding RM0.98 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Prestasi baik bagi setengah tahun pertama 2012 secara keseluruhannya dicapai berikutan pertumbuhan kukuh pendapatan pembiayaan selari dengan pertumbuhan tinggi jumlah baki pembiayaan dan pengukuhan dalam kualiti aset," demikian menurut bank itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pendapatan kasarnya meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada RM3.09 bilion berbanding RM2.68 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit menambah 10.4 peratus kepada RM1.73 bilion berbanding RM1.56 bilion sebelumnya.

Pendapatan daripada sumber pembiayaan naik 11.6 peratus kepada RM2.45 bilion berbanding RM2.19 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, atau 91.6 peratus disumbangkan oleh perbankan konsumer.

Perbankan komersil menyumbang sebanyak RM0.21 bilion atau 8.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan pembiayaan.

Bank Rakyat juga mencatatkan pendapatan berasaskan fi sebanyak RM44.9 juta pada setengah tahun pertama 2012.

Pendapatan komisen Takaful, wasiat dan yuran perkhidmatan ATM menyumbangkan 80.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan berasaskan fi.

Menurut kenyataan itu, jumlah aset Bank Rakyat menambah sebanyak 11.9 peratus kepada RM77.51 bilion berbanding RM69.27 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.  

Bank masih mengekalkan pembiayaan konsumer sebagai fokus utama perniagaan yang menyumbang 88.5 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat pada setengah tahun pertama 2012, dengan baki kasar pembiayaan konsumer meningkat 8.8 peratus kepada RM47.04 bilion pada setengah tahun pertama  2012 berbanding RM43.25 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dari segi portfolio pembiayaan, pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu sebanyak 86.0 peratus daripada keseluruhan pembiayaan konsumer.

Jumlah deposit Bank Rakyat menambah 9.7 peratus kepada RM66.13 bilion pada akhir Jun 2012, berbanding RM60.31 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dana pemegang saham naik 34.4 peratus kepada RM9.29 bilion pada akhir Jun 2012 berbanding RM6.91 bilion pada bulan yang sama tahun lalu hasil sumbangan penambahan untung bersih dan penambahan modal syer berbayar.

Bank Rakyat mempunyai melalui 136 rangkaian cawangan, 42 Ar-Rahnu X’change dan lebih 600 ATM serta CDM di seluruh negara. - Bernama

Tiada ulasan: