Ahad, 15 Julai 2012

UMNO Tuaran Halang Cawangan Mesyuarat

Sabahkini

Ketua Cawangan UMNO Gaya Ratau Tuaran, Liam Tawil menyatakan perasaan terkilan kerana cawangannya telah tidak dibenarkan menyertai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran yang telah diadakan di Dewan Seri Sulaman baru-baru ini.

"Sebagai seorang Ketua Cawangan, saya telah datang ke Pejabat UMNO Bahagian Tuaran untuk membuat pendaftaran sebagai perwakilan sehari sebelum mesyuarat perwakilan diadakan. Namun saya amat dukacita kerana harapan untuk menjadi perwakilan tidak menjadi kenyataan apabila Setiausaha UMNO Bahagian Tuaran, Johari Saiman memberitahu yang cawangan saya tidak layak menghantar perwakilan."

Kata Liam, adalah lebih memilukan kerana cawangan beliau yang pada saban tahun tidak pernah gagal menyertai Mesyuarat Perwakilan bahagian, namun penolakan cawangan ini menghantar perwakilan kali ini adalah satu sejarah hitam yang tidak boleh dilupakan.

Persoalannya, kata Liam, mengapakah ketika membuat pendaftaran itu tidak dijelaskan apa-apa alasan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Tuaran, Johari Saiman mengapa Cawangan UMNO Gaya Ratau tidak dibenarkan menghantar Perwakilannya?

Demikian dinyatakan oleh Liam yang akan mengemukakan perkara itu kepada Ibu Pejabat UMNO untuk mendapatkan tindakan dan penjelasan kerana beliau sebagai ahli UMNO begitu kecewa terhadap kejadian yang berlaku di saat dan ketika parti sedang membuat persiapan menjelang Pilihanraya Umum ke 13 tidak lama lagi.

Beliau menyatakan, pihaknya telah mendapat surat rasmi yang memaklumkan kepada cawangannya agar menghantar perwakilan sepertimana kebiasaan dan dengan itu beliau sendiri sebagai Ketua Cawangan telah datang untuk membuat pendaftaran seperti yang dikehendaki.

"Adalah amat menghairankan mengapakah cawangan saya tidak dibenarkan menghantar perwakilan sedangkan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda cawangan tersebut layak pula menghantar perwakilan dalam Mesyuarat Perwakilan masing-masing yang lebih awal dari itu? Kalau cawangan induk tidak layak, apakah perwakilan wanita dan pemuda layak?," tanya Liam yang merasakan pentadbiran UMNO bahagian itu semakin bercelaru dan membinggungkan.

Sehubungan dengan kejadian yang amat memalukan itu, Liam meminta supaya pimpinan UMNO Bahagian Tuaran membuat penyiasatan lebih terperinci mengapa kejadian sedemikian berlaku terhadap cawangannya.

Tiada ulasan: