Isnin, 30 Julai 2012

TV Impian di semua pejabat PAS Pahang

Khairil Abdul Rahim,

(Tuan Ibrahim menerima dekoder TV Impian daripada Izham.)

TEMERLOH : PAS Pahang maju setapak lagi dalam bidang penyampaian maklumat apabila membeli 100 unit dekoder televisyen internet, TV  Impian hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dekoder saluran baru media alternatif yang berpengkalan di Selangor itu akan diagihkan ke semua Majlis Tindakan Dun (MTD) seluruh Pahang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menjelaskan, televisyen internet di negara ini dijangka dapat menyaingi televisyen yang dikawal kerajaan Barisan Nasional (BN) sepenuhnya pada ketika ini.

“Cabaran paling besar bagi PAS menyampaikan maklumat-maklumat mutakhir kepada rakyat ialah apabila parlimen dibubarkan kerana penceramah-penceramah berkubu di kawasan masing-masing.

“Sedangkan pada waktu itu media arus perdana elektronik dan massa yang dikawal sepenuhnya oleh BN akan memanipulasi pelbagai isu dan fitnah menyerang kita.


(Anggota AJK PAS Pahang menunjukkan tanda bagus kepada TV Impian.)

“Ingat dulu isu Tengku Razaleigh memakai tengkolok yang dimainkan oleh media menjelang pilihan raya (1990) ketika itu, di mana kita tidak sempat untuk memberi penerangan balas sehingga kemenangan yang sepatutnya kita peroleh terkandas,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berkata, dengan adanya saluran alternatif Tv Impian itu dapatlah memberi penerangan pantas dan tepat terus kepada sasaran.

Tambahnya lagi, PAS Pahang mensasarkan semua markas Unit Peti Undi (UPU) PAS  memiliki dekoder TV Impian masing-masing menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti bagi tujuan akses maklumat.

TV Impian dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini di majlis penutup Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri Selangor.

Penyelaras TV Impian Ir. Izham Hashim, yang memberi penerangan sebelum itu berkata,  saluran tersebut adalah media rakyat untuk mendapatkan maklumat yang telus dan tepat.

Katanya, sebanyak lima saluran disediakan dalam televisyen tersebut dengan memuatkan saluran berita dan ulasan, dokumentari dan ceramah-ceramah agama serta filem-filem yang sihat dan hiburan yang dibenarkan Islam.

“Tv Impian akan meletakkan TV Makmur (saluran televisyen versi internet PAS Pahang) dalam Channel 1, sementara kemaskini maklumat dan berita mutakhir akan dipaparkan setiap masa pada sebelah bawah,” katanya.

Tiada ulasan: