Sabtu, 28 Julai 2012

Tukar Pengarah: PAS mahu penjelasan Ismail Sabri

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: PAS mempertikaikan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang mengarahkan empat pengarah jabatan Koperasi Negeri bertukar tempat kerja dua hari selepas kegagalan himpunan Hari Koperasi Negara.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu pertukaran pengarah negeri terbabit mula diperkatakan apabila mereka diarahkan dalam tempoh yang singkat dan mengejutkan.

"Ini mula dipersoalkan banyak pihak atas tindakan Ismail Sabri kerana pertukaran itu dibuat dua hari selepas himpunan Hari Koperasi Negara," katanya kepada wartawan.

Keempat-empat pengarah terbabit masing-masing dari negeri Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah telah menerima surat pertukaran dua hari selepas hari perhimpunan itu diadakan pada 14 Julai lalu.

Malah dakwanya, tindakan itu diambil selepas Hari Himpunan Koperasi Malaysia gagal untuk himpunkan sejumlah 100,000 orang.

"Target tidak sampai, sehingga keadaan majlis yang berjalan sangat mengecewakan, Perdana Menteri terpaksa mententeramkan audien bagi memberi peluang beliau berucap.

"Malah ditengah-tengah ucapan PM pula, ramai audien mula keluar stadium, nampak satu yang tidak kena terhadap penganjuran," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS.

Mahfuz juga berkata, Ismail Sabri seharusnya menerima secara terbuka bahawa orang ramai tidak berminat menghadiri himpunan tersebut bukannya dengan mengenakan tindakan terhadap pegawai-pegawainya.

Mahfuz juga menolak alasan yang diberikan Ismail bahawa pertukaran empat pegawai terbabit adalah proses biasa iaitu penyusunan semula.

"Kalau penyusunan semula, sepatutnya empat pegawai terima surat dan dimaklumkan sebelum hari himpunan," katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz melahirkan rasa hairan dan mempersoalkan mengapa kementerian terbabit mensasarkan kehadiran yang begitu besar dengan anggara perbelanjaan mencecah RM9 juta.

"Apabila mahu meraikan dan memberikan keselesaan dengan gambaran yang ramai kepada Perdana Menteri,  tetapi hakikat dan realiti tidak memberi apa-apa faedah malah merugikan rakyat," katanya.

"Kita berbelanja sampai RM9 juta hanya untuk mengembirakan PM, bagi saya ianya tidak patut berulang dalam cara PM mengendalikan program untuk menyakinkan rakyat," tegasnya.

Beliau percaya tumpuan Perdana Menteri pada himpunan besar untuk menunjukkan kepada dunia bahawa beliau masih diterima rakyat secara umum.

Tiada ulasan: