Isnin, 30 Julai 2012

Tsunami politik Sabah atau hanya 'ribut kecil'

G MANIMARAN

Lajim nafi keluar Umno, sertai pembangkang
Datuk Seri Lajim Ukin melambai tangan sebelum beredar dari bangunan Parlimen baru-baru ini. - Foto fail Bernama 
 
 
DATUK Seri Anwar Ibrahim yang berada di Sabah semalam menghantar beberapa mesej menerusi Twitter - berkenaan dengan perkembangan di negeri itu, yang kini berhadapan dengan 'ribut politik'. Sama ada ia besar, sederhana atau kecil masih menjadi tanda tanya.

Di Sabah, ribut politik seumpama itu bukan sesuatu yang baru. Pergolakan seolah-olah lebih kerap sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Dua mesej lewat malam tadi, antara lain berbunyi, "Google lagu lama: janji membawa akibat - Salbiah (jangan suka berjanji, jikalau tidak ditepati; janji membawa akibat...) Apa guna berjanji - Saloma."

Sebeluam mesej itu, Anwar, Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) memetik kata-kata pemimpin yang baru keluar parti semalam, "YB Wilfred Bumburing di Tuaran: kita akan catat perubahan, sokong reformasi dan PR. Tsunami politik gelombang di Sabah."

Kelmarin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan keputusan meletakkan jawatan parti, beberapa hari selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan.

Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lewat kelmarin, beliau akan memutuskan kedudukan Lajim hari ini. Berdasarkan kenyataan Lajim sendiri dan pengalaman-pengalaman lalu, Lajim sudah pasti tidak akan berada dalam Umno, BN dan jawatan kerajaan sama sekali.

Ia bukan lagi satu rahsia besar! Semua boleh mengandaikan apa yang akan dibuat oleh Najib.

Tetapi, oleh kerana PRU13 semakin dekat, kemungkinan Najib akan mengambil langkah yang boleh mengurangkan kesan dan implikasinya.

Semalam, Bumburing membuat keputusan untuk keluar dari BN dan merapatkan diri dengan Pakatan Rakyat.

Dalam entri terbaru blognya, Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di Parlimen, Datuk Abdul Rahman Dahlan menulis bahawa "walaupun BN Sabah merasa sedih dan kesal dengan berita ini tetapi secara jujur dan ikhlas, respons yang saya dapati dari kalanga ahli-ahli BN ketika ini lebih kepada menghembuskan nafas kelegaan."

Ahli Parlimen Kota Belud ini, bahagian yang rapat dengan Tuaran, diwakili Bumburing, Abdul Rahman berkata, beliau lega kerana satu episod lambaian "bye-bye" politik yang terlalu lama dan yang penuh dengan babak-babak dramatik dan retorik yang memenatkan telah berakhir.

Satu mesej Twitter lewat kelmarin juga menyebut, "apa yang diramalkan pada September 2008, kini mula berlaku. Ia lewat tetapi sudah mula berlaku."

Menjawab perkara disebutkan oleh Abdul Rahman itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, "siapa yang tidak lega?"

"Apabila beberapa wakil rakyat PKR khususnya ahli-ahli Parlimen keluar, mereka pun kata lega kerana pihak yang menjadi duri dalam parti akhirnya memutuskan untuk keluar," kata Ibrahim merujuk kepada beberapa ahli Parlimennya yang keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat mesra BN.

"Berdasarkan pada perkembangan sejak beberapa hari lalu, BN sudah kehilangan empat ahli Parlimen dari Sabah (termasuk dua dari Sapp yang keluar akhir 2008).

"Di Sabah, soal keluar parti dan tukar kerajaan bukan perkara baru, ia pernah berlaku sehingga membawa kerajaan negeri pimpinan BN dan kemasukan Umno," kata pegawai kanan firma kajian pendapat awam ini.

Ahli Parlimen Kota Belud juga menulis bahawa sekadar seorang individu tidak akan dapat menjamin kepentingan mereka terjamin.

"Membaca komen-komen dalam garisan masa Facebook saya, ramai yang menjangkakan akan berlaku pergolakan dalam Pakatan Rakyat Sabah dalam masa yang terdekat ini.

"Lajim, kata mereka, sudah tentu akan menuntut tampuk kepimpinan Pakatan Rakyat jika beliau mahu menjadi Ketua Menteri Sabah," kata ahli Mahlis Tertinggi Umno ini.

Lajim, Ahli Parlimen Beaufort mengatakan beliau keluar dari BN untuk kepentingan rakyat. Beliau melancarkan pergerakan politik yang mesra PR iaitu Pakatan Perubahan Sabah yang akan bertanding 17 kerusi Parlimen di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang menjadi tokoh diperhatikan oleh banyak pihak di Sabah dan luar Sabah berkata, parti itu menyedari bahawa Lajim tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan Bumburing iaitu Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) meninggalkan BN.
Dipetik Bernama, kata Musa, “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka."

Malah Musa berkata, sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dipetik menegaskan, tindakan Lajim meletak jawatan dalam parti adalah "asam garam politik."

Beliau berkata, desas-desus Lajim ingin meninggalkan Umno telah lama didengar, namun ia sering dinafikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, tindakan Lajim dan Bumburing meninggalkan BN tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil.

Detik bersejarah di Sabah ini muncul beberapa hari selepas seorang profesor berkata peranan Negeri Sabah dan Sarawak penting untuk memberikan imbangan dalam senario politik di negara ini sejak 50 tahun lalu. Pun begitu, katanya, Sabah dan Sarawak tidak boleh menjadi 'fix deposit' bagi BN.

Ahli panel satu forum kendalian Majlis Profesor Negara minggu lalu, Prof Dr Jayum anak Jawan berkata, ia sudah menjadi tugas kepada kedua-dua negeri tersebut bertindak sebagai penyelamat kepada parti pemerintah dan tugas ini digalas buat pertama kali pada tahun 1948.

Menurutnya, perkara yang sama berlaku sekali lagi pada 1963, seterusnya pada 1969 sebelum BN menghadapi masalah majoriti pada pilihan raya umum 2008.

Ketika ramai terus membuat spekulasi tarikh PRU13, persoalan yang timbul sama ada Najib akan memanggil pilihan raya dalam waktu terdekat.

"Masih terlalu awal untuk mengatakan kesan dan implikasi.

"Kita kena tunggu dan lihat sejauh mana mereka boleh menjadikan gelombang besar di Sabah," kata Ibrahim lagi sambil menambah, "adalah menarik untuk mengkaji senario di negeri Sabah."

Ketika ditanya sama ada perkembangan semasa ada kaitan dengan dakwaan Najib kurang turun ke Sabah berbanding lawatan dan kunjungan ke negeri-negeri di Semenanjung sejak tiga tahun lalu.

Kata Ibrahim, Najib juga sering turun ke Sabah, tetapi isu pendatang asing mendapat taraf kewarganegaraan menjadi titik tolak kepada perkembangan dan isu baru ini.

Kedua-dua pemimpin itu keluar BN kira-kira sebulan selepas Perdana Menteri mengumumkan secara rasmi dan formal penubuhan suruhanjaya bagi menangani isu warga asing mendapat kerakyatan Malaysia.

Minggu lalu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengkritik abangnya sendiri - Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang merupakan Presiden PBS, Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan  kerana memuji kepimpinan BN negeri dan persekutuan di sebalik isu suruhanjaya diraja dan pendatang asing. Dr Jeffrey pernah berada dalam Kerajaan Sabah ditadbir BN dan kemudian menyertai PKR dan kini mengetuai pertubuhan pembangkang.

Walaupun kebanyakan pemimpin Umno-BN menyifatkan keputusan kedua-dua wakil rakyat tidak akan memberi kesan ke atas pakatan itu, mereka tidak dapat menerima perkembangan semasa ini.

Pada PRU 2012, kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam mengekalkan kuasa BN di pusat. BN hilang majoriti dua pertiga dengan hanya mempeoleh 140 kerusi.

Bagi Ibrahim, sama ada tindakan kedua-dua mereka boleh diibaratkan sebagai tsunami "masih terlalu awal". "Kita perlu tunggu perkembangan beberapa hari lagi," katanya.

PRU12 dikaitkan dengan tsunami dari utara. Sejak setahun lalu, PRU13 dihubungkaitkan dengan tsunami dari selatan - dari Johor.

Tiba-tiba kini tumpuan memfokus ke atas Sabah, yang terletak agak berjauhan dari Kuala Lumpur dan Putrajaya. Masih banyak andaian dibisik-bisik, hangat dibincangkan dan mencetuskan polemik baru menjelang PRU13.

5 ulasan:

Paquin berkata...

Tak kisahlah tsunami ataupun ribut kecil yang pasti hal ini boleh dikatakan isu paling hangat di pasaran. hehe

Paquin berkata...

Entah apalah jadi masa PRU13 nanti. Tak sabar juga mahu tahu siapa yang akan menang.

mantera berkata...

ia rasanya takkan menguggat sanggt kedudukan BN, Bn akan tetap kukuh walaupun tanpa mereka,

Unknown berkata...

Kita tunggu saja apa yang Lajim akan lakukan seterus ini. Kerana masih lagi menjadi persoalan punca Lajim keluar UMNO.

Tanpa Nama berkata...

Datuk Lajim bukannya hebat mana pun. Mungkin sudah tahu diri akan disingkirkan sebab itulah bertindak meninggalkan parti.