Sabtu, 28 Julai 2012

Timbalan Menteri Kabinet keluar Umno, ajak ubah kerajaan di Sabah

KEADILAN DAILY

KOTA KINABALU  Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Akim hari ini, mengumum peletakan semua jawatannya dalam Umno.

Beliau berkata demikian depan ratusan penyokong, kebanyakannya pemegang jawatan penting di peringkat cawangan dan bahagian Umno, di rumahnya di Likas di sini, kira-kira jam 6 petang.

“Mulai sekarang, saya letak semua jawatan dalam Umno kerana tidak lagi yakin parti itu mampu membela rakyat Sabah,” katanya.

Bercakap kepada Keadilan Daily pula, Lajim menyatakan komitmennya terhadap Pakatan Rakyat bagi memulihkan Sabah dari belenggu penindasan dan ketidakadilan.

Beliau juga menggerakkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) – sebuah gerakan yang menolakkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Selain PPS yang didominasi golongan Melayu-Islam, wujud juga Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diterajui Datuk Seri Wilfred Bumburing – Ahli Parlimen Tuaran dari BN.

Pelancaran PPS dan APS dijadual berlangsung esok dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.

Sebelum ini, Lajim meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu sehari selepas Datuk Seri Najib Razak melawat Sabah, Jun lalu.

Beliau juga enggan pertahan jawatan Ketua Bahagian Umno Beaufort sebaliknya menghantar surat peletakan kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort.

Lajim ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Beaufort sejak beberapa penggal, selain pernah menyandang Timbalan Ketua Menteri Sabah dan jawatan penting lain.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008 beliau mengalahkan calon KEADILAN Lajim Md Yusof dengan majoriti 10,914 undi.

Lajim juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi sesi 2009-2011 dalam Perhimpunan Agung Umno 2009.

6 ulasan:

Paquin berkata...

Tidak yakin umno boleh bela nasib rakyat Sabah atau tidak yakin umno dapat bela kedudukannya. hehehe.. Lajim, Lajim.

Paquin berkata...

KIta lihat sajalah nanti sejauh mana perjuangan si Lajim ni untuk rakyat.

mantera berkata...

akhirnya dia buat keputusan untuk keluar UMNO, lebih baik keluar jika tak setia lagi pada parti.

mantera berkata...

biarkan rakyat menilai sendiri berhubung keputusan dia keluar dari UMNO.

Unknown berkata...

Jangan dibawa rasa kecewa itu dengan memberikan pelbagai hasutan kepada rakyat.

Tanpa Nama berkata...

Kalau kita lihat sendiri pun Datuk Lajim tidak akan jauh kemana pun dalam Parti PR nanti.