Selasa, 3 Julai 2012

Tidak perlu berlumba laksana hudud

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Seorang pemimpin perlu ada konsistensi dalam perjuangan dan tidak boleh bercakap mengikut kehendak hati sahaja, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron.

Menurutnya, jika seseorang pemimpin itu mahu membawa satu cadangan baru, ia perlu disertakan dengan kajian dan analisa terperinci agar rakyat boleh menilai kebaikannya.

“Soal hukum hudud ini tidak boleh dipolemikkan kerana ia akan memberi kesan kepada banyak pihak.

"Mengutarakan cadangan itu boleh tetapi jika menyentuh soal hudud perlu melihat dengan serius, bukan menjadi satu perlumbaan siapa laksana dulu atau kemudian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat pertama penggal persidangan ke-5 Dewan Negeri Johor ke-12 pada 20 Jun lalu.

Menurut Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, membawa cadangan baru itu bagus, tetapi mengetepikan perundangan yang sedia ada tanpa melihat keberkesanannya boleh memberi kesan tidak baik.

“Kita perlu istiqamah dalam hal ini, tidak boleh cakap ikut suka atau untuk kepentingan tertentu sahaja. Perlu lihat kehendak dan keperluan semasa dengan mengambil pandangan banyak pihak.

“Apa yang penting, sesebuah sistem perundangan itu boleh membentuk kebudayaan yang cemerlang. Kalau kita sudah tidak yakin dengan perundangan sedia ada dan mahu membawa sistem yang baru, perlu ada kajian serius,” katanya.

Idris mengingatkan pemimpin Umno untuk tidak menjadi seperti pemimpin pembangkang yang tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Tiada ulasan: