Sabtu, 28 Julai 2012

Teresa Kok lawat mangsa bencana, hulur derma

Roketkini.com




PUCHONG: Keluarga mangsa-mangsa kebakaran dan mati lemas mendapat perhatian DAP apabila Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok melawat mereka untuk memberi sumbangan derma ikhlas sempena bulan Ramadan.

Kebakaran empat rumah yang melibatkan tiga keluarga termasuk tujuh pelajar di sini dipercayai berlaku jam 3 pagi awal semalam.

Teresa mengadakan perjumpaan dengan mangsa-mangsa tersebut,di Balai Raya Kampung Batu 13 Puchong, Mukim 2 di sini semalam.

Selain menghulurkan sumbangan, beliau juga meminta mangsa-mangsa yang terlibat memohon bantuan daripada  zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Saya juga akan meminta mana-mana persatuan yang sudi untuk menyalurkan bantuan untuk tampil memberi sumbangan. Mereka yang malang ini amat memerlukan barang-barang keperluan asas dan juga pakaian,” katanya.

Teresa juga melawat keluarga mangsa mati lemas, Allahyarham Mohd Rasid Shaharuddin, 40, pada 16 Julai lalu di lombong Taman Muhibah, Kinrara.

Allahyarham, seorang pemandu teksi, meninggalkan seorang balu Rohaya Mat Isa dan lima anak. Keluarga mangsa diberi bantuan RM2,000 dan bekalan makanan ringan.

Sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puan Azizan Jamaluddin, di talian 019-388 9005 atau menghubungi terus ke Pusat Khidmat Masyarakat DAP Puchong/DUN Kinrara di talian 03-8070 3807. – Roketkini.com

Tiada ulasan: