Sabtu, 28 Julai 2012

Statistik jenayah perlu penilaian pihak ketiga

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dengan kejadian jenayah yang hampir setiap hari dilaporkan, adalah sukar untuk rakyat menerima kenyataan pihak Kementerian Dalam Negeri dan juga Polis bahawa indeks jenayah di negara ini semakin menurun.

Dalam kes-kes terbaru, ahli Exco Melaka Datuk Latiff Tamby Chik telah mengalami kerugian sebanyak RM200,000, sementara rumah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Long dan jirannya telah dipecah masuk.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua kes-kes itu menimbulkan perasaan curiga terhadap penurunan indeks jenayah yang diuar-uarkan.

Tambahnya, statistik yang menunjukkan penurunan indeks jenayah adalah tidak relevan apabila persepsi awam adalah bertentangan dan orang tidak berasa selamat.

Lebih teruk katanya, mangsa-mangsa rompakan bukanlah hanya rakyat biasa tetapi juga orang-orang kenamaan dan ahli-ahli politik kebangsaan.

"Malah bekas KPN Tan Sri Musa Hassan sendiri mempersoalkan penurunan indeks jenayah yang dilaporkan, dan berkata bahawa jika benar kadar jenayah tidak meningkat maka menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi tidak perlu mengupah pengawal peribadi.

"Untuk sebab ini, penilaian pihak ketiga tentang penurunan indeks jenayah sekurang-kurangnya dapat meyakinkan rakyat bahawa indeks jenayah itu memberi gambaran yang tepat tentang keadaan jenayah dan keselamatan awam di Malaysia," katanya.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, jika perlu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn juga patut menempatkan semula pegawai-pegawai perisik Cawangan Khas (SB) untuk memerangi jenayah daripada kegiatan mengintip dan mengganggu pemimpin-pemimpin PR.

Sehingga kini katanya, menteri itu masih tidak menjawab dakwaan bahawa SB telah menghasilkan 382,000 laporan mengenai kegiatan-kegiatan politik rakyat Malaysia dan menjalankan 351,000 pemeriksaan keselamatan pada tahun 2010, berdasarkan peruntukan polis dalam Bajet 2012.

"DAP ingin mengulangi tuntutan kami kepada Kementerian Dalam Negeri supaya pegawai-pegawai polis dilantik untuk tujuan memerangi jenayah.

"Jika SB dapat ditempatkan semula untuk menghasilkan lebih daripada 700,000 laporan tentang jenayah dan penjenayah daripada laporan tentang pemimin-pemimpin PR, maka dana rakyat bukan sahaja akan digunakan dengan betul tetapi keyakinan bahawa polis akan menjaga kepentingan awam dan bukan hanya kepentingan politik Umno atau BN akan dihasilkan," katanya.

Tiada ulasan: