Rabu, 11 Julai 2012

SPR: Tiada halangan Azizah tanding Dun

NURUL AINI MOHAMED ALI

Azizah
 
 
PUTRAJAYA  -  Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tiada halangan jika Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Semalam, Wan Azizah mengatakan yang beliau sedang mempertimbangkan dengan "serius" untuk bertanding dan mengambil kira pelbagai aspek.

Bagaimanapun, isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak  mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding.

Sebaliknya, beliau berkata, akan berbincang terlebih dahulu sebelum memutuskan kawasan mana beliau akan bertanding.

"Kita tidak ada sebarang halangan jika beliau mahu bertanding dalam kerusi Dun dan ia tidak menjadi masalah," ulas Abdul Aziz ditemui selepas Sesi Khas SPR Bersama Media-Demonstrasi Susun Atur Tempat Mengundi di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Wan Azizah hanya meletakkan jawatan di peringkat kerusi Parlimen dan oleh itu, tiada halangan jika beliau mahu meneruskan niat bertanding di mana-mana kerusi Dun.

"Beliau hanya tidak boleh bertanding di (kerusi) Parlimen saja, kerana mengikut undang-undang beliau memang tidak layak bertanding di Parlimen tetapi di Dun, tiada masalah," tambah beliau.

Pada pilihan raya umum lalu dan ketika pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh 2008, Dr Wan Azizah mengundi di SK Sri Penanti yang terletak di kerusi Dun Permatang Pasir.

Dr Wan Azizah  meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen empat tahun lalu.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan beliau masih tertakluk kepada larangan bertanding semula kerusi Parlimen selama lima tahun.

Tiada ulasan: