Selasa, 3 Julai 2012

Soalan wakil rakyat Duyong gamatkan DUN Melaka

Elissa Helmy


 
Tindakan seorang ADUN BN yang mencabar seorang wakil rakyat pembangkang supaya menjawab satu dakwaan mencetus kekecohan di hari pertama persidangan DUN Melaka hari ini.

Insiden itu timbul apabila Datuk Gan Tian Loo (MCA-Duyong) meminta Betty Chew (DAP-Kota Laksamana) menjawab satu dakwaan berhubung seorang wanita yang didakwa pernah bekerja di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Chew yang merupakan isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagaimanapun enggan menjawab dakwaan tersebut, biarpun Gan berkali-kali mendesak supaya beliau membuat penjelasan.

"Saya perlu tanya perkara ini sebab ramai orang tanya saya dan suruh saya bawa dalam dewan ini, adakah YB Kota Laksamana kenal tak perempuan ini," kata Gan yang menyebut nama seorang wanita.

"Saya percaya ramai nak tahu perkara ini termasuk mereka dari DAP sendiri sebab banyak di blog-blog tempatan memaparkan isu ini,"katanya ketika melontarkan pertanyaan itu di dalam persidangan berkenaan

Keadaan itu menimbulkan kekecohan apabila beberapa wakil pembangkang termasuk Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) dan Goh Leong San (DAP-Bachang) bangun dan membantah isu yang dibangkitkan Gan.

Mereka memberi alasan bahawa isu tersebut tiada kena mengena dengan usul bantahan terhadap penganjuran Bersih 3.0 pada April lalu yang sedang dibahaskan.

Khoo juga mencabar Gan supaya mengulangi perkara tersebut di luar Dewan.

Gan bagaimanapun terus mengasak Chew dengan bertanya sekiranya benar dakwaan bahawa wanita yang dinamakannya itu sebelum ini pernah bekerja di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan kini dipindahkan ke Pejabat Warisan Dunia di negeri tersebut.

Gan juga bertanya sekiranya Chew pernah "menyepak atau buat macam-macam" ke atas wanita berkenaan.

Chew tetap enggan mengulas dakwaan tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Chew berkata perkara itu perlu dijelaskan oleh Gan yang membangkitkan dakwaan berkenaan.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai hal ini, setakat ini saya tidak tahu apa-apa kes ini, tetapi kalau pemberita nak tahu suruhlah YB yang membangkitkan isu ini menjelaskannya," katanya.

Ditanya sama ada isu berkenaan merupakan satu fitnah untuk menjatuhkan suaminya, Chew tetap enggan mengulas dan mencabar Gan supaya membuat kenyataan media berhubung dakwaan itu.

Tiada ulasan: