Selasa, 10 Julai 2012

Shukri calon paling layak ganti Tg Azlan di Jerantut?

NOR’AIN MD ZAIN

Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar
Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar
 
Shukri calon paling layak ganti Tg Azlan di Jerantut?
Dr Ahmad Shukri
 
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti menyaksikan kerusi Parlimen Jerantut, bakal berubah apabila Ahli Parlimennya, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar,  bertegas melepaskan jawatannya. Beliau juga tidak  mahu mempertahankan kerusi Parlimen itu walaupun dicalonkan semula oleh ahli Umno Bahagian Jerantut sendiri atau pucuk kepimpinan tertinggi Umno. Untuk rekod Umno Bahagian Jerantut sudah menghantar senarai lapan pemimpin kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Pusat, iaitu Tengku Azlan sendiri selaku Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak; Naib Ketua Umno Bahagian; Datuk Nazri Ngah; Setiausaha Umno Bahagian, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar;  Adun Pulau Tawar ; Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail; Ketua Penerangan Umno Jerantut, Ahmad Nazlan Idris  dan bekas Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Kamaruzaman Mohd Baria dan bekas Adun Tahan yang juga ahli Jawatankuasa Umno Bahagian,  Datuk Ahmad Jaafar. Dari senarai pencalonan dikemukakan, desas desus bertiup kencang kini menyatakan nama, Dr Ahmad Shukri antara yang menjadi calon kesukaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Jerantut kelak.

Sinar Harian berkesempatan menemu bual Tengku Azlan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hasrat beliau itu dan harapannya kepada calon yang menggantikannya nanti di kerusi Parlimen Jerantut.

Soalan: Mengapa Tan Sri memilih untuk berundur diri dari mempertahankan kerusi Parlimen Jerantut pada PRU13 kelak?

Jawapan:Saya melihat sudah sampai masanya saya berundur dan memberi peluang kepada muka baru yang bertenaga, kreatif serta mempunyai cita-cita untuk memajukan Parlimen Jerantut  demi pengundi setempat. Keputusan mengundurkan diri dan tidak mahu bertanding lagi pada PRU 13 ini adalah muktamad. Saya ingin berehat, lagipun usia ini sudah melebihi 60 tahun dan rasanya sudah cukuplah mengurus serta memimpin Umno di sini. Walaupun saya tidak bertanding bagi kerusi Parlimen tetapi saya masih berhasrat memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Jerantut,  seandainya ahli Umno Bahagian masih memberi mandat, demi perpaduan parti dan akan bekerja keras berkempen untuk memenangkan calon baru pada PRU13 nanti.

Soalan: Bagaimana Tan Sri melihat perkhidmatan selama tiga penggal menerajui Parlimen Jerantut sebelum ini?

Jawapan: Selama tiga penggal memimpin di sini, agenda mengukuhkan perpaduan semua parti komponen BN termasuk Umno sendiri telah berjaya saya laksanakan di samping mengembalikan keyakinan golongan muda kepada kerajaan hari ini. Keyakinan golongan muda diterjemahkan menerusi modus operandi pendaftaran pengundi baru dan keahlian Umno yang  memberangsangkan di kawasan Parlimen Jerantut. Saya yakin dengan pertambahan ini, Umno/BN di Jerantut akan terus menang pada PRU13 akan datang. Selama menerajui kerusi parlimen juga, saya melihat jentera Umno Jerantut sudah mempunyai kekuatan untuk menghadapi PRU akan datang dan mengekalkan kerusi yang telah dimenangi lepas. Dari sudut perkhidmatan saya juga gembira apabila banyak projek pembangunan di Jerantut telah menempa kejayaan hasil perjuangan Umno dan BN di sini. Ia melibatkan keseluruhan aspek termasuk penyediaan kemudahan asas, pendidikan, ekonomi dan sosial bukan sahaja di kawasan bandar, Felda dan kampung tradisi, bahkan juga di pedalaman Hulu Tembeling yang mengubah kehidupan dan memenuhi kebajikan penduduk.

Soalan:  Difahamkan, Umno Bahagian Jerantut sudah menghantar lapan pencalonan untuk kerusi Parlimen Jerantut pada PRU13 kelak. Apa komen Tan Sri mengenai muka baru dan calon ‘favourite’  yang boleh menerajui kerusi parlimen kelak?

Jawapan:Kita memang sudah menghantar senarai pencalonan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Pusat. Senarai calon dikemukakan itu terdiri daripada ahli jawatankuasa yang berkelayakan, berkredibiliti dan pilihan penduduk setempat. Pemilihan calon juga dilakukan kerana mereka diyakini boleh menang,  dan mereka (calon) sudah masak dengan keadaan setempat di samping  sudah bekerja keras selama ini.

Pencalonan juga dilakukan memenuhi konsep ‘winable candidate’, yang dilihat bukan sahaja perlu disenangi rakyat, namun lebih utama turut boleh bawa kemenangan kepada parti. Kita mempertahankan calon yang disenaraikan dan menentang sekiranya terdapat calon luar untuk mengisi kerusi BN di Parlimen ini. Ini kerana calon dikemukakan mempunyai pengaruh cukup kuat dan mencapai hasrat boleh menang.

Sebagai contoh, terdapat lapan nama yang dicalonkan untuk diteliti oleh pihak tertinggi sebagai calon BN menjelang PRU akan datang dan kemungkinan besar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail bakal menerajui Parlimen Jerantut pada PRU kelak. Ini tidak mustahil kerana beliau sudah lama berkhidmat sebagai Adun Pulau Tawar, pernah menjawat ahli mesyuarat negeri (Exco) dan mempunyai pengalaman yang luas. Selain itu, hubungannya dengan ahli Umno dan orang ramai khususnya peneroka Felda  turut mendorong beliau menjadi calon sebutan,yang diyakini boleh membawa kemenangan.

Namun apa yang penting kini adalah Umno Negeri dan Pusat diharap memilih senarai calon yang dihantar dan sebaliknya tidak meletakkan calon “payung terjun” iaitu orang luar daripada jawatankuasa bahagian. Ini kerana ia hanya bakal mengundang masalah besar kepada parti kelak. Umno Bahagian dan BN Jerantut perlu terus memberikan komitmen dan sokongan padu, kepada calon yang dipilih dan melipatgandakan usaha bagi memastikan BN terus menang dan menawan kerusi Parlimen Jerantut.

Tiada ulasan: