Selasa, 24 Julai 2012

Selangor Rancang Usaha Tingkatkan Air Terawat Berjumlah RM 500 Juta





SHAH ALAM : Kerajaan Selangor telah memohon RM 225 juta dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata melalui projek ini, hasil air terawat mampu ditingkatkan sehingga lebih 222 juta litre sehari (MLD).

Tegasnya adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan semua aset-aset air di Selangor seperti loji-loji tersebut, kerana ia dipajak kepada mereka.

“Sekiranya Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan dana berkenaan, Kerajaan Negeri bersedia mengeluarkan belanja untuk memenuhi keperluan kerja-kerja tersebut.

“Ini bagi memastikan rakyat Selangor mendapat air secukupnya,” Xavier dalam kenyataan medianya di sini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk  membelanjakan antara RM 200 juta hingga RM 300 juta untuk meningkatkan kemampuan rawatan air dengan menggunakan teknologi membran.

Sementara itu, Kerajaan Negeri meminta kerjasama Syabas untuk membenarkan kumpulan profesional yang dilantik mesyuarat exco Selangor untuk memantau 29 loji yang diurus mereka.

Syabas, sebuah syarikat swasta, telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air mengikut satu perjanjian pada 2004.

Syabas menguruskan 29 daripada 33 loji di Selangor manakala empat lagi di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

“Bahkan lebih baik sekiranya SYABAS membenarkan wakil-wakil rakyat Selangor untuk memantau angka dan unjuran permintaan air dan bekalan air.

“Buat masa ini, wakil-wakil rakyat Selangor tidak dibenar masuk ke loji rawatan air Syabas dan hanya bergantung kepada angka dan statistik yang mereka berikan,” Xavier berkata.

Tiada ulasan: