Khamis, 26 Julai 2012

'Saya rasa tak selamat selepas ditangkap polis'

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: Seorang petugas media memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa beliau hanya berasa tidak selamat di perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu selepas ditangkap dan dikasari polis.

Wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin yang membuat liputan pada perhimpunan tersebut sebaliknya berkata, sebelum polis melepaskan gas pemedih mata dan menangkap beliau, beliau berasa selamat dan teruja bertugas pada perhimpunan tersebut.

"Selepas saya ditangkap, saya berasa tidak selamat berada di situ sedangkan sebelum itu perhimpunan itu aman dan meriah seperti karnival. Saya pun gembira bertugas," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Koh ditangkap polis ketika mengambil gambar di Jalan Raja Laut. Polis ambil kad media dan kamera saya. Saya dibawa ke Pulapol walaupun saya bagitahu saya wartawan.

"Di Royal Club, saya dapat kembali kamera saya tapi kad memori polis rampas. Saya dibawa ke Pulapol dan dibebaskan selepas kira-kira 7.45 malam.

"Polis juga mengakui melakukan kesilapan menangkap saya," katanya.

Tambah Koh lagi, beliau tidak menyangka akan dikasari polis kerana beranggapan akan berada dalam keadaan selamat apabila membawa kad media.

"Sebelum ini wartawan senior ada memberitahu saya, saya tidak akan selamat jika membawa kad media ketika bertugas. Tapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: