Sabtu, 21 Julai 2012

Rozali digesa letak jawatan

KL TODAY

 

Kontroversi krisis bekalan air bersih yang melanda kawasan Lembah Klang makin berlarutan apabila Pengerusi Eksekutif (CEO) Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail digesa meletak jawatan.

Gesaan yang disuarakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dibuat selepas kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan menyalahkan Syabas sebagai punca berlakunya kekurangan bekalan air terawat di Lembah Klang.

Malah Rozali turut dituntut agar memohon maaf kepada rakyat di Lembah Klang apabila didakwa gagal memberi perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

“CEO Syabas perlu letak jawatan dan minta maaf kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana gagal sediakan air bersih secukupnya,” katanya yang dipetik menerusi twitter di sini, Jumaat.

Baru-baru ini Abdul Khalid dilaporkan mendakwa ketidakmampuan Syabas itu dilihat menerusi tunggakan syarikat itu kepada operator rawatan air sebanyak RM2.8 bilion sehingga April tahun ini, selain gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sebanyak 20 peratus mengikut perjanjian konsesi.

Pada 14 Julai lalu, Syabas bercadang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan catuan bekalan bagi mengatasi krisis kekurangan air yang telah melanda kawasan Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sejak April lalu.

Langkah itu dikemukakan berikutan penurunan paras air yang mendadak sejak bulan lalu di beberapa kolam takungan sehingga ada yang mencapai negatif berbanding jumlah simpanan yang sepatutnya iaitu minimum 20 peratus.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut memberitahu, pihaknya mengambil keputusan untuk menggunakan Klausa 32 di bawah perjanjian konsesi bagi mengemukakan notis kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih operasi Syabas.

Tiada ulasan: