Khamis, 19 Julai 2012

RAKR: Kelantan tidak pernah dapat peruntukan

Salmah Mat Husain,
 
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diminta menyalurkan peruntukan khas untuk pembinaan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) kepada kerajaan Kelantan bagi membolehkan kerajaan negeri ini menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri seharusnya mendapat peruntukan yang sama dari kerajaan Pusat sebagaimana di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak pernah menerima peruntukan yang sama sebagaimana negeri lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran projek Perdana D’Cemerlang, di sini pagi tadi.

Pada masa yang sama beliau mendedahkan kerajaan negeri memperuntukkan RM4.4 juta kepada projek rumah awam rakyat dalam Belanjawan 2012.

Kerajaan Kelantan yang dituduh miskin, tidak mampu mentadir kini sedang membina sebuah projek D’Perdana Sri Cemerlang bernilai RM70 juta.

Projek berkenaan diselenggarakan anak syarikat milik kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan dimajukan oleh SPP Development Sdn Bhd.

Apartmen yang bertemakan ‘urban living’ atau kehidupan dalam bandar itu setinggi 25 tingkat yang merangkumi 244 unit servis apartmen, enam unit kedai pejabat dan lima tingkat tempat letak kereta.

Pada majlis itu jugaTuan Guru memberitahu, dengan terbinanya projek ini akan mematahkan dakwaan pihak tertentu yang berkata Kelantan mundur dan tiada pembangunan.

Menurutnya, projek pembangunan kedua selepas KTC menjadi bukti keupayaan kerajaan Kelantan dalam melaksanakan pembangunannya.

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Adun Bunut Payong, Datuk Anuar Tan, Ketua Eksekutif PKINK, serta pegawai kanan kerajaan negeri pelbagai agensi.

Projek berkenaan dijangka siap pada 2015.

Tiada ulasan: