Sabtu, 14 Julai 2012

Qari Malaysia johan tilawah

KOSMO


Muhammad Anuar dan Hasnae bersama piala kemenangan masing-masing pada majlis penutup Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).

Muhammad Anuar yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).

Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk memperoleh 94 peratus sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.

Hasnae menewaskan qariah Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.

Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Tiada ulasan: