Khamis, 26 Julai 2012

PPP anjur 3 wacana menjelang PRU 13

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: PAS melalui Pusat Penyelidikan PAS (PPP) akan menganjurkan tiga wacana 5 Ogos ini bagi membincangkan tiga topik penting menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Seminar ini akan berlangsung selama sehari suntuk di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan diikuti majlis berbuka puasa bersama-sama.

Demikian kata Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Masduki (gambar atas) dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, seminar ini adalah lambang komitmen PPP dalam usaha meneliti, menyemak dan mengkaji semula beberapa dasar sedia ada di peringkat kerajaan Persekutuan sekarang.

Menelusuri Dokumen Negara Berkebajikan yang digagaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dokumen ini merupakan tawaran kepada rakyat sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat memegang tampuk pemerintahan Persekutuan pada PRU 13 akan datang.

"Oleh yang demikian, dasar atau polisi awam yang sedia ada akan diselarikan dengan Dokumen Negara Berkebajikan dan kelompangan-kelompangan yang wujud akan ditampung oleh PAS melalui kajian penyelidikan oleh PPP sendiri," katanya.

PPP, katanya, mempunyai pelbagai pakar dan felo yang bersedia menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing bagi merealisasikan hasrat murni ini.

Selaras dengan hasrat murni ini, PPP akan menganjurkan 'Seminar Zulkifli Muhammad: Membangun Negara Berkebajikan' sebagai langkah kehadapan dalam persiapan melengkapkan polisi dan dasar yang sedia ada.

Seminar ini akan berlangsung selama sehari pada 5 Ogos 2012 bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan diikuti majlis berbuka puasa bersama-sama.

Seminar ini mengutarakan 3 topik yang kritikal dalam negara melalui 3 wacana dengan membariskan ahli panel yang berwibawa dalam bidang masing-masing.

Untuk Wacana 1 yang bertaju 'Mampukah Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Sendiri', tiga penal akan membincangkan tajuk ini.

Mereka adalah Iskandar Abd Samad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setingaan Kerajaan Negeri Selangor, Profesor Datuk Dr Nik Mohd Zain bin Nik Razak, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Turut serta adalah Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, Ketua Penerangan Dewan Ulamak dan Setiausaha Majlis Syura PAS.

Wacana 2 pula bertajuk 'Implementasi Sistem Percukaian di Malaysia – Suatu Kajian Semula'

Penal wacana ini adalah Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan AJK PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, Setiausaha Dewan Ulamak PAS dan Dr Rosli Yaakob, Bekas Penolong Gabenor Bank Negara.

Dalam Wacana 3 yang bertajuk 'Hiburan dikalangan Belia' tiga penal akan membincangkan tajuk ini.

Mereka adalah Datuk Abd Fatah b Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan.

Di samping beliau, turut serta adalah Ustaz Firdaus b Jaafar, Ahli Parlimen Jerai merangkap Exco Dewan Pemuda PAS dan Tuan Ahmad Idham b Ahmad Nadzzri, Pengarah dan Penerbit Drama/Filem.

Oleh yang demikian, PPP menjemput semua pakar dalam bidang terlibat turut hadir bersama dalam memberi sumbang saran dalam mematangkan idea dan buah fikiran.

Selain itu, PPP juga mengalu-alukan kehadiran semua pihak termasuk para ahli akademik, wakil- wakil NGO, pimpinan masyarakat setempat dan pimpinan mahasiswa untuk turut serta berdiskusi dalam seminar ini.

Selain itu juga, seminar ini merupakan kesinambunagn daripada beberapa siri wacana yang telah dianjurkan oleh PPP dalam 8 bulan lepas.

PPP telah mengumpul dan menganalisis beberapa bidang untuk diterjemah dalam bentuk polisi selari dengan Dokumen Negara Berkebajikan.

Seminar tersebut akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayyub yang juga merupakan pimpinan PAS yang mengerakkan Agenda Negara Berkebajikan Tawaran PAS.

Majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif PPP,  Dr Dzulkefly Ahmad yang juga berusaha keras menggerakkan agenda Negara Berkebajikan sehingga terhasilnya Dokumen Negara Berkebajikan dalam versi Bahasa Inggeris dan Mandarin.

Maklumat lanjut mengenai seminar ini boleh didapati melalui blog: www.pasresearchcentre.blogspot.com atau hubungi sekretariat PPP, Encik Ubaid 013-3575978 atau Encik Muhammad 019-3303236. Pendaftaran secara online melalui link: http://tiny.cc/seminar-mnb

Tiada ulasan: