Khamis, 5 Julai 2012

Polis tahan Uncle Seekers mengikut OSA

 
Zulaikha Zulkifli


 

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai (semalam).

Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Alattas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

"Mengapa saya harus beri reaksi kepada (dakwaan) karut," katanya dalam satu tulisan di Twitter.

Tiada ulasan: