Sabtu, 28 Julai 2012

PKR: Kaji semula AP, ganti pendapatan duti eksais

Ahmad Fadli KC
 


 
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Rakyat antara lainnya akan mengkaji pengurusan permit import kenderaan (AP) bagi membiaya penghapusan duti eksais kereta yang dirancangkannya.

Selain itu, Pakatan juga akan mengkaji kaedah untuk menguruskan belanjawan negara dengan lebih berhemah bagi menampung semula pendapatan yang hilang akibat penghapusan cukai tersebut.

NONE"Kita sedang melihat bagaimana AP diuruskan. Kita semua tahu bahawa AP merupakan sumber kekayaan bagi kroni.

"Kita akan melihat bagaimana sumber pendapatan ini akan menyeimbangkang pendapatan yang hilang daripada duti eksais," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Tanpa memberikan butiran terperinci, Rafizi berkata pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu depan.

Rancangan untuk menjadikan pengurangan harga kereta sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya itu menerima pelbagai reaksi, antaranya daripada golongan yang mahu Pakatan Rakyat menumpukan usaha memperbaiki pengangkutan awam dan bukannya menghapuskan cukai kereta.

Mengulas saranan itu, Rafizi berkata usaha untuk mengurangkan keberhutangan rakyat akibat pembelian kereta boleh dilakukan dengan lebih segera.

Perkara itu juga lebih utama berbanding usaha menaiktaraf pengangkutan awam yang memakan belanja besar dan tempoh yang panjang, katanya.

"Terdapat tempoh matang (di antara pelaksanaan dan hasil) sebelum kita dapat memperbaiki pengangkutan awam.

"Ia bukan sahaja soal pengangkutan awam, tetapi ia juga keberhutangan dan ekonomi rakyat.

"Apabila Pakatan memerintah akan ada usaha bersepadu juga untuk memperbaiki pengangkutan awam," katanya.

Tiada ulasan: