Perkhidmatan Tan Sri Abu Bakar Abdullah, 57, sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan semalam.
Bagaimanapun, dalam kenyataan tiga perenggan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa tidak menyatakan sebab-sebab perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan.

Berikutan kekosongan tersebut, Dr Ali berkata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd Ali akan menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuatkuasa semalam.

Dr Ali berkata, kerajaan sedang menimbang dan meneliti calon yang layak dan sesuai bagi jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baru.
  
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sumbangan dan khidmat bakti Abu Bakar sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam.- Bernama