Selasa, 31 Julai 2012

Peristiwa lebih besar menunggu politik Sabah

Muhammad Yusri Amin,
KOTA BHARU: PAS meramalkan akan berlaku lagi peristiwa lebih besar dalam politik Sabah selepas tindakan dua pemimpinnya baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) meramalkan perkara itu ekoran tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN.

Nik Amar mengulas tindakan terbaru tokoh politik Sabah Timbalan Menteri, Datuk Seri Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno, dan seterusnya menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Turut meninggalkan BN Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) parti komponen BN, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.

Jadi apa yang dilakukan Lajim dan Bumburing itu, dakwa Nik Amar, adalah sebahagian daripada manifestasi dan mungkin selepas daripada ini akan berlaku lagi berkara-perkara lebih besar pada masa-masa akan datang.

“Ini kerana kita dengar banyak cerita tentang ketidakpuasan  terhadap kepimpinan kerajaan di Sabah,” dakwa Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan itu.

Bagi beliau, perkembangan terbaru politik Sabah membabitkan tokoh dari komponen Barisan Nasional keluar parti itu dan seterusnya menyokong Pakatan  Rakyuat (PR) merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat dan  kalangan pemimpin politik Sabah terhadap Umno-BN.

Beliau mendakwa peristiwa itu adalah rentetan beberapa perkara yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Royal Thai Consulate-General dekat sini petang semalam.

(Nik Amar berucap di majlis berbuka anjuran Konsulat Thai)

Turut  hadir Consul-General Jackrid Kanjasoon, para pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

“Dan apa yang dilakukan oleh Datuk Lajim Ukin itu merupakan manifestasi daipada ketidapuasan hati rakyat dan juga kalangan pemimpin politik di Sabah terhadap Umno-BN," katanya.

Nik Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri turut mengulas kenyataan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa perjuangan BN berada di landasan yang betul walau pun parti itu tidak melabelkan “Islam”.

Bahkan, dakwa Najib yang dipetik media ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Perak baru-baru ini bahawa segala program transformasi Kerajaan BN berlandaskan ‘maqasid syariah’.

Najib mendakwa segala program transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.

Menurut Nik Amar, ‘maqasid syariah’ terlaksana adalah apabila (sesebuah) kerajaan itu tegak di atas dasar Islam dan mana-mana kerajaan yang tidak berlandaskan syariat, tidak boleh bercakap tentang ‘maqasid syariah’.

“Itu adalah asas, dan kita mestilah faham dahulu.

“Jadi apabila kita nak bercakap tentang maqasid syariah maka (sesebuah) kerajaan itu sendiri mestilah kerajaan yang berasaskan syariah, yang tegak di atas dasar Islam.

“Kalau (sesebuah)  kerajaan itu tidak menerima Islam sebagai dasar, macam mana boleh bercakap tentang maqasid syariah.

“Itu asasnya dahulu. Kenalah faham.  Bukanlah boleh senang-senang (sewenang-wenang) kita kata ini (adalah) maqasid syariah atau seumpamanya," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa sebelum menyertai politik.

Nik Amar mendakwa walau pun ada beberapa perkara dilaksanakan mungkin bertepatan dengan kehendak agama, namun ia tidak menjadi asas.

Beliau mengajak masyarakat supaya memahami dahulu soal dasar kedudukan perkara itu.

“Jadi di sini saya fikir kita kenalah faham dahulu bahawa Kerajaan Malaysia ini bukanlah Kerajaan Islam, itu asasnya.

“Bahkan bukan kerajaan yang berlandaskan kepada ajaran agama Islam,” dakwanya.

Tiada ulasan: