Rabu, 11 Julai 2012

Penghulu, penggawa diingat bersikap adil dan saksama

SINAR HARIAN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan penghulu dan penggawa supaya bertindak adil dan saksama tanpa wujud sikap berpuak-puak dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Perdana Menteri berkata sebagai pemimpin masyarakat, mereka mempunyai peranan yang amat besar sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat untuk memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada golongan sasarannya.

Katanya mereka perlu merasai denyut nadi rakyat, mesra kepada rakyat serta tahu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Ini yang saya hasratkan...kerajaan mempunyai niat yang baik tetapi disebabkan sistem penyampaiannya, ia tidak sampai kepada golongan sasarannya.

"Peranan penghulu ialah untuk memastikan penduduk di mukim masing-masing mendapat bantuan kerajaan seperti daripada program BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Dan jika terdapat apa-apa lagi yang belum kerajaan laksanakan, penghulu boleh memaklumkannya melalui saluran tertentu," katanya ketika menutup seminar Memperkasakan Institusi Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Najib juga mahu mereka rapat dengan wakil rakyat masing-masing dalam usaha mendekati masalah rakyat.

Katanya peranan asas mereka sebagai penghulu yang telah wujud sejak sekian lama masih tidak berubah tetapi pendekatan, cara berfikir dan bertindak perlu diadaptasi mengikut perubahan dan peredaran zaman.

"Jika dahulu, pemerintahan kesultanan, hari ini pemerintahan kerajaan yang dinaungi oleh Raja-Raja Melayu, mengharapkan penghulu memainkan peranan berasaskan kepada tidak ada pihak lain yang lebih dekat dengan rakyat, selain daripada penghulu," katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 diberikan kepada  persatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia bagi membolehkan persatuan itu melaksanakan aktiviti di seluruh negara.

Mengenai elaun bagi penghulu dan penggawa, Najib berkata beliau akan membawa perkara itu kepada mesyuarat Kabinet esok serta merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. - Bernama

Tiada ulasan: