Rabu, 4 Julai 2012

Penganalisis: ‘Kerajaan harus ada usaha tarik Cina’

Jamilah Hamzah

SHAH ALAM -  Penganalisis politik bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan pengaruh pengundi kaum Cina akan menjadi penentu besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mohd Azizuddin Mohd Sanim dari Universiti Utara Malaysia melihat kenyataan Dr Mahathir itu sebagai satu perkara benar kerana keadaan kaum Melayu telah lama berpecah kepada dua sentimen, masing-masing membawa haluan sendiri.

Azizuddin berkata, pengundi Cina memang dilihat boleh menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) untuk terus mengemudi sistem pemerintahan negara pada pilihan raya musim ini.

“Betul apa yang di kata Mahathir, undi kaum Cina penentu kepada kemenangan BN dalam PRU kali ini.

“Ini kerana kaum Melayu telah berpecah kepada dua bahagian iaitu BN dan Pakatan Rakyat (PR),” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Azizuddin berkata, walaupun kaum Cina dilihat lebih memilih kepada pemerintah mengikut kaumnya, namun sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, undian kaum Cina lebih dibuat mengikut parti yang disokong.

Katanya lagi, kerajaan sekarang perlu menitikberatkan soal bahasa, kebudayaan dan pendidikan untk terus memberi keyakinan kepada kaum Cina dan menarik penglibatan mereka dalam memberi undi kepada BN.

“Kerajaan mesti ada usaha untuk tarik golongan Cina bagi mendapatkan sokongan pada PRU kelak.

“Antaranya dari segi ekonomi, kerajaan perlu lebih memberi peluang kepada mereka dalam aspek ini dan mesti adil,” katanya.

Beliau juga berkata, mengenai isu perkauman kerajaan perlu lebih bijak menangani sentimen itu tanpa melibatkan perasaan kurang selesa kepada masayarakat samada Melayu ataupun Cina.

Dalam kenyataan media kelmarin, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sokongan kaum Cina bagi membolehkan kerajaan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang adalah sama penting dengan sokongan dari kaum lain.

Beliau berkata, melalui pendekatan dan usaha kerajaan untuk kebajikan rakyat dan negara, sokongan semua rakyat pastinya akan diperoleh terutamanya dari kaum Cina.

“Kaum Cina akan sokong kerajaan selepas melihat semua kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan selama ini dan MCA akan berusaha memastikan sokongan kaum Cina kepada kerajaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan  Mahathir Mohamad bahawa kerajaan memerlukan sokongan kaum Cina bagi mendapat kemenangan besar dalam PRU13.

Sementara itu,  Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan PRU 2008 antara penyebab kemerosotan undi kaum Cina pada BN yang puratanya hanya 25 peratus hingga 30 peratus yang ditunjukkan dalam kajian masyarakat Cina menyokong BN pada PRU lepas dan dilihat masih kekal.

Beliau juga berkata, hal tersebut jelas menunjukkan kerisauan kepada BN untuk menarik lebih ramai pengundi golongan Cina dan perkara ini memberi cabaran besar bagi kerajaan.

“Untuk memperoleh undi kaum Cina, kerajaan perlu memulakan dengan memberi kepercayaan, usaha dan mempunyai strategi tertentu yang hanya dibuat oleh Perdana Menteri.

“Golongan Cina suka berniaga, oleh itu kerajaan perlu beri lebih peluang kepada mereka dari segi peluang ekonomi dan kestabilan kepada parti," katanya lagi.

Samsul berkata, kempen yang dilancarkan parti pembangkang iaitu DAP lebih berkesan dan dilihat memberi kelebihan kepada kaum itu serta sekali gus menyerapkan kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun begitu, Samsul berkata, pengundi dinasihatkan lebih bersikap realistik dan bukan mengharapkan pada janji-janji yang ditaburkan parti politik untuk menang dalam PRU sahaja.

“Keberkesanan kempen PR menjadi mampan kepada dan kemampuan kepada DAP untuk menarik pengundi kaum Cina.

“Namun masyarakat perlu lebih bersifat realistik dan membuat pertimbangan dengan betul untuk memilih pemimpin akan datang bukan hanya semata-mata terpengaruh dengan propaganda parti politik," katanya lagi.

Tiada ulasan: