Selasa, 17 Julai 2012

Pelajar dedah detik cemas ketika dirompak di Mesir

M Zin,

TANAH MERAH: Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang terselamat dalam kejadian rompakan di Kaherah baru-baru ini, Muhaimin Yahya (gambar) melahirkan rasa syukur kerana terselamat pada insiden tersebut.

Bagaimanapun beliau terkilan seorang rakannya, Abdul Khafiz Mohamed Norok, 25 maut selepas terjatuh dari sebuah van ketika cuba menyelamatkan diri.

Mereka merupakan pelajar tahun akhir Maahad Qiraat Shoubra, dirompak dua lelaki tempatan, awal pagi Rabu lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kediaman di Shoubra.

Sebelum itu mereka menghadiri perjumpaan pelajar Malaysia di Abud, di pinggir Kaherah.

Abdul Muhaimin, 25 ketika ditemui petang semalam berkata, beliau dan Allahyarham berdepan dengan detik cemas ketika menaiki sebuah van untuk pulang ke kediaman di Shoubra.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi. Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila pemandu membuat pusingan. Sepatutnya tidak perlu berbuat demikian.

“Sebelum itu ada satu keluarga lain dalam van, namun mereka turun awal sebaik melalui sebuah terowong. Arwah memberitahu dia agak risau sebelum tiba-tiba lelaki yang duduk di sebelah pemandu mengacukan pisau lipat.

“Lelaki itu cuba menyeluk saku seluarnya tetapi tidak berjaya dan dia sempat menepis. Arwah kebetulan duduk dekat pintu van.

“Sebaik perompak di sebelahnya berpindah ke belakang, dia terus membuka pintu dan keluar menyelamatkan diri,” katanya yang pulang ke tanah air, beberapa hari lalu.

Bagaimanapun ketika itu van dipandu laju menyebabkan Abdul Khafiz cedera parah di kepala selepas terjatuh.

Katanya, selepas van bergerak perlahan beliau terjun ke luar dan berlari meluru ke tempat arwah jatuh.

“Abdul Khafiz dihantar ke Hospital Maahad Nasir di pinggir Kaherah. Kemudian dipindah ke Hospital Amal, Ain Shams. Mangsa koma 24 jam sebelum disahkan meninggal dunia,” ujarnya.

Mangsa berasal dari Kampung Asam Kumbang, Benut, Johor. Jenazahnya disembahyang di Dataran Hayyu A’syir dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Malaysia di Hayyu Asir pada petang Rabu.

Muhaimin yang hanya cedera ringan dalam kejadian tersebut juga memberitahu mangsa sering menyuarakan hasrat untuk menetap di Kaherah.

Beliau merupakan anak kepada Ketua Urusan Ulamak PAS Tanah Merah, Yahya Daud yang juga Imam Masjid Mukim Alor Pasir, Dun Kemahang.

Pagi semalam keluarga terbabit yang tinggal di Kampung Alor Pasir juga menerima kunjungan anggota Exco, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Muhaimi yang pulang bercuti selepas selesai menduduki peperiksaan juga memberitahu beliau akan meneruskan pengajian di Kaherah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tiada ulasan: