Selasa, 3 Julai 2012

Peguam dilantik Senator baru wakili Kelantan

Mohd Nor Yahya,
 
KOTA BHARU: Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Khairiah Mohamed, 38, (gambar) hari ini dilantik sebagai anggota Dewan Negara baru menggantikan Mumtaz Mohd Nawi.

Khairiah sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun di MPKB BRI berasal dari Kubang Kerian, kini menetap di Kampung Sabak Pengkalan Chepa.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Syariah di Universiti Malaya. Mempunyai lima anak. Suaminya, Nik Baharom Nik Abdullah juga seorang peguam.

Namanya dicadangkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dun hari ini.

Kemudian ahli-ahli Dewan menyatakan sokongan ketika diminta undi secara lisan oleh Speaker, Datuk Nasuruddin Daud.

Khairiah ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Senator terdahulu Kalthom Ahmad, Hunaizah Mohd Nor, Siti Jamilah Ibrahim, Wan Ubaiah Omar dan Mumtaz.

“Pelantikan oleh Dewan Negeri adalah satu amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab. Insya-Allah saya akan mengenengah suara-suara rakyat Kelantan di Dewan Negara nanti.

“Malah dasar Membangun Bersama Islam dan Negara Berkebajikan yang dipopularkan di Kelantan juga akan menjadi fokus perbincangan saya.

“Saya berlatar belakang undang-undang dan syariah. Saya berhasrat mengenengahkan dasar-dasar Islam yang dilaksanakan di Kelantan sekarang ke peringkat nasional,” ujar beliau.

Sementara itu Dewan Muslimat PAS negeri merakamkan ucapan tahniah di atas kepercayaan kerajaan negeri kepada wakil muslimat kekal menduduki kerusi Senator mewakili Kelantan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Wan Ubaidah Omar berkata, pelantikan Khairiah bertepatan dengan masanya bagi menyemarakkan lagi suasana politik di Kelantan.

“Kami percaya Khairiah dapat membawa suara rakyat Kelantan ke Dewan Negara dalam pelbagai aspek berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal undang-undang,” ujar beliau.

Khairiah juga Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Negeri. Seorang lagi Senator iaitu Datuk Dr Johari Mat juga mewakili Kelantan.

Tiada ulasan: