Rabu, 11 Julai 2012

PAS Wilayah ajak rakyat ke Himpunan Hijau 14 Julai

 Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyeru rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat supaya hadir ke Himpunan Hijau pada 14 Julai ini.
Setiausahanya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, Himpunan Hijau itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Munajat Perdana Umat Islam Kuala Lumpur diiringi dengan pidato pembakar semangat oleh pimpinan PAS Pusat serta tokoh-tokoh yang dijemput hadir.

Katanya, PAS WP ingin mengingatkan peserta-peserta agar memakai baju Hijau sebagai warna konsep program di samping membawa sejadah masing-masing serta berwuduk bagi menyertai Munajat selepas Maghrib nanti.

Beliau berkata, PAS WP akan membariskan pemimpin tertinggi antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan Mazlan Aliman ( AJK PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia) serta Vincent Lee selaku Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selain itu, PAS WP juga menjemput tokoh-tokoh yang telah menyertai PAS seperti Datuk Adnan Ibrahim, bekas Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Ramli Buyung (Naib Presiden Kanan Felcra Bhd), Abdullah Ali (lagenda bolasepak negara), Kamal Bachaa (bekas Ahli MKT PPP) serta Cikgu Nazri Nordin (bekas AJK Umno Bahagian Gopeng).

Beliau menambah, bagi warga Kuala Lumpur khususnya ahli dan penyokong-penyokong PAS, Himpunan Hijau sebagai penyuntik semangat bagi menghadapi PRU13.

Menurutnya, tiga buah parlimen yang diamanahkan untuk PAS bertanding, iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan menjadi asas kekuatan PAS di Kuala Lumpur ini.

Katanya, Putrajaya bukan lagi sebuah kawasan selamat bagi Umno kerana ia boleh runtuh bila-bila masa ditawan PAS manakala Labuan pula akan mencatat sejarah menjadi pertarungan paling sengit dalam PRU13 kelak manakala Titiwangsa, satu-satunya Parlimen yang dimenangi oleh PAS, menjadi  benteng penting untuk dipertahankan kemenangannya.

“Himpunan Hijau PAS WP kali ini diadakan di ambang Ramadhan bagi memperkukuh tarbiyah dan keimanan umat Islam menghadapi bulan penuh rahmat ini,” ujarnya.

Di samping itu, tambah beliau momentum himpunan itu menjadi azimat dan bekal semangat buat semua rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan nanti bagi membuat perubahan dalam PRU13.

Ujarnya, warga Kuala Lumpur adalah ejen perubahan paling penting bagi melatari landskap politik negara ini.

“Perubahan penting pasca PRU13 nanti dimulai dengan ‘tsunami politik’ warga Kuala Lumpur nanti, dan akan diikuti oleh negeri-negeri lain seluruhnya, Insya Allah,” katanya.

Tiada ulasan: