Jumaat, 27 Julai 2012

Muhyiddin terburu-buru singkirkan Najib

DETIK DAILY   


KUALA LUMPUR: Gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ketuanya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan PRU13 tahun ini juga, menunjukkan sikap terburu-buru beliau yang tidak sabar lagi hendak melihat Najib tersungkur.


AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, andaian pihak Umno-BN, iaitu jika mereka berjaya menang dengan majoriti tipis, Najib sudah tentu akan menerima nasib seperti mantan PM, Tun Abdulllah Ahmad Badawi yang dipaksa melepaskan jawatan PM dan Presiden Umno.

Itu pun kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, jika BN menang tipis. Tetapi jika berlaku sebaliknya, bukan sahaja Najib, malah Muhyiddin turut sama tenggelam, apabila BN ditewaskan dalam PRU13 nanti.

“Kenyataan TPM ini mengundang banyak persepsi. Adakah beliau hendak menolak PM ataupun beliau tahu PM tidak yakin, maka beliau hendak push PM supaya buat juga PRU tahun ini?” soalnya.

Tegasnya, walaupun Najib sebelum ini berkata, beliau yakin menang 14-0 ke atas Pakatan Rakyat, namun sehingga kini beliau tidak berani membubarkan Parlimen.

“Banyak program pemberian telah dibuat misalnya BR1M. Tetapi kesannya sudah habis, parlimen tidak dibubar juga. Sekarang BN bercakap pula tentang BR1M kedua, entah bila hendak beri kita tidak pasti.
“Kita lihat transformasi ekonomi dan politik Najib banyak juga yang telah dibuat tetapi kenapa beliau belum cukup yakin? Jawabnya mudah, walaupun media dikuasai BN, mereka masih gagal meraih sokongan rakyat,” ujar beliau

Jelas, katanya, Najib tersekat kerana banyak propaganda transformasi beliau dapat dipatahkan oleh media baru, khususnya rakyat yang semakin jelas menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: