Jumaat, 27 Julai 2012

MPPA bantah tindakan lelaki serang dua jurufoto media

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) membantah sekeras-kerasnya tindakan seorang lelaki berusia 40an yang menyerang dua jurufoto media semasa membuat liputan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Pemangku Presiden MPPA Norhaizat Abdul Samad dalam kenyataan hari ini berkata tindakan lelaki itu mengasari sambil mengugut serta mencekik jurufoto bertugas yang dilaporkan Bernama semalam seolah-olah tidak mempedulikan undang-undang hak dan kebebasan media dalam menjalankan liputan harian.

“Kami sekeras-kerasnya menentang kejadian seperti ini dan kejadian ini amat berat sebelah bagi pihak yang menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata MPPA melalui Jawatankuasa Exco negeri Pulau Pinang akan berhubung dengan jurufoto terbabit bagi mengambil tindakan sesuai untuk menyelesaikan kes itu.

“Jurufoto media hanya menjalankan sebahagian daripada tugas di tempat awam.

Maka tidak seharusnya kami dijadikan mangsa,” katanya.


Semalam, dua jurufoto dari akhbar Guan Ming Daily dan The New Straits Times (NSTP) diserang oleh lelaki tidak dikenali ketika membuat liputan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Pada kejadian 9.15 pagi, Lim Lean Hin dari Guan Ming Daily cedera di leher akibat dicekik lelaki terbabit manakala Mohamad Danial Saad dari NSTP pula bergelut setelah kameranya cuba dirampas.

Lim, 33, berkata lelaki itu dipercayai tidak berpuas hati kerana menyangka beliau dan Mohamad Danial mengambil gambarnya sedangkan mereka merakamkan foto orang lain yang terlibat dalam satu kes di mahkamah. — Bernama

Tiada ulasan: