Selasa, 10 Julai 2012

MB Selangor perlu perjelas semua isu di Dun

SINAR HARIAN

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar
 
 
TANJONG KARANG - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menggunakan persidangan Dewan  Undangan Negeri (Dun), yang bermula hari ini, untuk menjelaskan semua isu berhubung pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang yang dipimpinnya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata Abdul Khalid tidak sepatutnya mengelak daripada menjawab semua dakwaan termasuk isu penstrukturan hutang antara Talam Corporation Bhd (Talam) dan kerajaan negeri.

Bila orang dakwa, kita perlu jelaskan. Seperti juga saya, bila orang dakwa dan tuduh, kita  perjelaskan... kemudian jika masih berlaku isu berbangkit dan ia menjurus kepada fitnah, baru fikirkan langkah tindakan undang-undang.

Sebaliknya, beliau terus ambil tindakan enggan mengulas dengan alasan kononnya atas arahan peguam kerana mahu ambil tindakan undang-undang. Kita sebagai pemimpin kena bertanggungjawab dan berani menjelaskan sebarang dakwaan," katanya pada sidang akhbar media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid dalam satu sidang akhbar semalam yang bertegas tidak akan menggunakan persidangan DUN bagi menjawab isu Talam.
Noh berkata, Abdul Khalid juga sepatutnya membawa isu Talam ke Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi membuktikan ketelusan seperti yang sering diuar-uar dan bukan mendiamkan diri serta mengambil tindakan undang-undang.

Beliau juga berkata, Menteri Besar Selangor itu perlu menepati janjinya untuk menjawab beberapa isu yang dibangkitkan seperti pemberian kontrak secara rundingan terus dan laporan kewangan Universiti Selangor (Unisel).

"Banyak isu yang Abdul Khalid sebenarnya takut untuk dedahkan kerana bagi saya, dia telah kalah 2-0 apabila isu perbelanjaan Yayasan Selangor dan pasir yang pernah saya bangkitkan sebelum ini ternyata benar," katanya.

Pada Mac lepas, Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki mengakui wujud amalan kewangan yang lemah dalam penganjuran pelbagai kegiatan yayasan itu pada 2010, termasuk sambutan ulang tahun ke - 40.

Pengakuan itu dibuat pada pendengaran awam yang dikendalikan Selcat berhubung dakwaan yayasan tersebut berbelanja lebih RM1.4 juta untuk pelbagai acara pada 2010.

Noh turut mendakwa kerajaan Selangor enggan membawanya ke Selcat berhubung isu pasir yang dibangkitkan sebelum ini, walaupun beliau sedia mendedahkan maklumat berhubung skandal tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: