Ahad, 15 Julai 2012

MB : Rakyat Perlu Terima Hakikat Pembangunan





TANJONG KARANG  : Kerajaan Selangor secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan bagi pembinaan jalan raya yang akan menghubungkan Banting di Selangor sehingga ke Taiping di Perak untuk dibangunkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, rakyat perlu bersedia menerima perubahan bagi mengelakkan ketinggalan dalam arus pembangunan yang semakin pesat kini.

“Dan apa yang berlaku akan terdapat jalan yang bertingkat daripada Banting ke Taiping serta akan dibangunkan jalan daripada Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam yang akan dilebarkan menjadi lapan jalur(lorong) iaitu empat jalur(pergi-balik).

“Buat masa kini jalan yang menghubungkan antara Kuala Selangor dan Sabak Bernam hanya mempunyai dua jalur pergi dan balik.

“Ini akan membawa perubahan yang sangat besar dan akan menyebabkan peningkatan kawasan perindustrian di Kuala Selangor dan di Sabak Bernam,” katanya.

Abdul Khalid berkata, apabila projek ini dilaksanakan kelak ia akan membawa kemakmuran ekonomi di kawasan itu dengan pembangunan kawasan perumahan baru yang kira-kira 10,000 unit dengan pertambahan penduduk dijangkakan seramai 50,000 orang.

Justeru, satu pendengaran awam akan dibuat untuk memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat setempat kesan pembangunan pelebaran jalan ini.

“Dengan adanya pendengaran dan dialog ini maka rakyat boleh bertanya apa kebaikan pembangunan ini,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco-exco Selangor, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Misri Idris ahli-ahli majlis dan penjawat awam.

Kira-kira 500 orang penduduk sekitar daerah Kuala Selangor dan penjawat awam hadir bagi mendengar amanat daripada Menteri Besar itu.

Tiada ulasan: