Khamis, 19 Julai 2012

MB: Penyusunan semula untuk kurangkan kos SYABAS

Salhan K Ahmad


 
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata penyusunan semula perkhidmatan air negeri itu akan melibatkan pengurangan kos pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

"Kita nak betulkan air tidak berhasil (NRW), kedua kita nak lihat bagaimana kita dapat ambil alih, kos overhead SYABAS boleh dikurangkan.

"Contohnya kalau kita bayar gaji orang yang jadi ketua pegawai eksekutif SYABAS, saya ingat gajinya tak lebih daripada 10 peratus daripada gaji sekarang kepada (pengerusi eksekutif SYABAS) Tan Sri Rozali (Ismail)," katanya.

Tambahnya, hutang yang kini ditanggung SYABAS juga akan dibatalkan melalui penyusunan semula itu.

"Kita dah beritahu (SYABAS) hutang semua itu merupakan sebahagian daripada skim penyusunan semula, ia akan dibatalkan sebab ada penyusunan semula aset seperti yang dinyatakan dalam Akta Perkhidmatan Industri Air.

"Kita sendiri juga fahami dan kaji masalah SYABAS. Kita juga buat tawaran kepada SYABAS untuk atasi masalah, oleh kerana keupayaan SYABAS dari segi kewangan yang mereka ada termasuk beban hutang yang besar, adalah baik untuk pemilik saham SYABAS untuk terima penyusunan semula air Selangor.

"Pemilik saham SYABAS tak ada kerugian dari usaha ini," tegasnya yang menjelaskan bahawa kerajaan negeri berkuasa untuk berbuat demikian mengikut Perkara 32 dalam perjanjian konsesi air.

Penyusunan semula secara holistik itu akan mencantumkan kesemua syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan air Selangor dalam satu syarikat tujuan khas, kata Khalid.

Kerajaan negeri kemudiannya akan membuat tawaran konsesi baru kepada SYABAS dan tiga syarikat lain yang terbabit - Puncak Niaga, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd.

Tiada ulasan: