Selasa, 3 Julai 2012

MB: Isu dinar boleh siasat, tapi fitnah dosa

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Aziz
Nik Aziz
 
 
KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pegawai Kerajaan Pas Kelantan sekiranya terlibat dalam penyelewengan dirham dan dinar emas Kelantan yang dikeluarkan oleh Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT).

Menurutnya, kalau betul-betul wujud penyelewengan tersebut, beliau adalah orang pertama yang akan ambil tindakan.

“Penyelewengan boleh siasat tidak ada apa, nak kata apa katalah tetapi siasat kena ada, kalau siasat tak jumpa apa-apa ini ertinya fitnah.

“Fitnah ini berdosa, selagi orang buat fitnah itu tidak bertaubat, dia akan masuk kubur dalam keadaan berdosa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perbandaran, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Padang Perdana, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya wujud penyelewengan dan salah laku pegawai kanan syarikat pengeluar dirham dan dinar emas Kelantan, KGT.

Mengenai kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bahawa dinar Kelantan tidak boleh dijadikan sebagai mata wang, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, ia adalah perkara kedua yang membabitkan soal teknikal.

“Mata wang itu sendiri sudah Islam, kalau buat bulat atau leper pun, itu tetap Islamik, orang akan ingat kerajaan Islam sebelum ini, jika kata mahal, itu masalah perniagaan, tetapi jika benar sekalipun, kenapa orang beli begitu banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat masih berteka teki ketika ditanya kedudukannya yang dikatakan berpindah ke kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka pada PRU12 lalu berkata, spekulasi penghijrahan itu akan terjawab sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan.

“ Bertanding di Parlimen atau mana-mana, tengok la esok-esok (kemudian hari) sebab Parlimen belum dibubarkan lagi,” katanya Mat.

Sebelum ini, sebuah akhbar menyiarkan laporan mengenai spekulasi mengatakan Nik Aziz akan bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRU-13.

Tiada ulasan: