Rabu, 4 Julai 2012

Mangsa mogok kena Hepatitis B, diugut pecat

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Seorang tahanan ISA terpaksa menghentikan mogok lapar mereka apabila masuk hari ke 13 hari ini apabila diserang Hepatitis B.

Mata Razali Kassan membengkak dan kekuningan  kerana terkena jangkitan itu, kata Syed Ibrahim Syed Noh Pengerusi, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Syukri Razab, Penyelaras Suaram, Sekretariat GMI dalam kenyataan bersama mereka.

Razali Kassan juga merupakan tahanan yang dilaporkan telah dipukul dan diludah oleh pegawai KemTa semasa menyertai mogok lapar.
Hepatitis B merupakan penyakit berjangkit yang boleh merebak melalui darah dan cecair badan yang tercemar.

Sekiranya tidak dirawat, hepatitis B boleh menyebabkan penyakit kronik seperti radang hati.

GMI juga mendapat maklumat Fadzullah Razak yang telah memulakan mogok lapar masih nekad dan akan terus mogok sehingga semua tahanan dibebaskan.

"Berdasakan maklumat yang diperolehi, walaupun telah diasingkan daripada tahanan lain dan dipaksa untuk berhenti, Fadzullah tetap meneruskan mogok lapar," kata kenyataan itu.

Berpuasa setiap hari

Begitu juga seorang tahanan daripada Sabah yang bernama Bakar bin Baba yang dilaporkan sebagai berpuasa setiap hari.

Bakar yang merupakan seorang guru juga dilaporkan telah menerima surat buang kerja daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas alasan melanggar tatatertib ekoran penahanannya di bawah ISA.

Walau bagaimanapun, surat itu sampai ke rumah Bakar yang berada di Tawau dan surat itu telah dipanjangkan oleh keluarganya kepada pihak KemTa.

Namun sehingga ke hari ini belum ada sebarang maklum balas mengenai surat itu daripada Bakar.

Ini kerana, jika surat itu tidak dijawab dalam masa 14 hari, Bakar akan dibuang kerja.

GMI juga mendapat maklum Bakar didenda untuk tidak boleh menggunakan telefon dan berhubung dengan surat ekoran beliau menyertai mogok lapar.

Sekiranya Bakar dibuang kerja, keadaan ini sudah pasti lebih menyukarkan keluarganya yang bergantung penuh pada pendapatannya sebagai guru, kata kenyataan itu.

Sementara itu, GMI membuat tiga tuntutan iaitu:


1. Pihak KemTa perlu membenarkan peguam yang akan melawat KemTa untuk hadir bersama doktor bagi membolehkan keadaan pesakit diperiksa oleh doktor selain daripada pegawai perubatan yang disediakan oleh pihak KemTa.

2. GMI juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa semua tahanan akan dibenarkan menggunakan akses telefon dan surat menyurat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar seperti mana yang sedang dihadapi oleh Bakar bin Baba

3. GMI mendesak Menteri Dalam Negeri untuk memastikan tidak ada hukuman atau denda yang dikenakan ke atas tahanan yang bermogok lapar termasuk tidak menghadkan tempoh pertemuan keluarga seperti mana yang telah berlaku terhadap tahanan Mustawan, Razali dan Fadzullah.

GMI juga berpendirian:

GMI tetap dengan pendirian bahawa semua isu yang berlaku akan selesai sekiranya Menteri Dalam Negeri bersedia untuk membebaskan kesemua tahanan ISA. Keegoan Menteri mempertahankan tindakan hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih keruh.

GMI juga berpendirian tindakan pihak KemTa yang mendenda tahanan yang menyalurkan maklumat keluar daripada KemTa juga merupakam tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Apakah tindakan untuk memaklumkan kepada keluarga mengenai salah laku pegawai KemTa dan penderaan yang dialami tahanan merupakan satu kesalahan?

"Sifat pihak KemTa ini dilihat amat tidak professional dan lebih dilihat sebagai cuba melindungi sesuatu daripada diketahui umum," kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: