Jumaat, 27 Julai 2012

Majlis ulama: MT Umno buat keputusan

ARHIZA AHMAD

Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan
 
 
SHAH ALAM - Cadangan supaya majlis ulama dijadikan komponen penting bagi memperkukuhkan Umno diserahkan kepada Majlis Tertinggi untuk membuat keputusan sama ada perlu dilaksanakan ataupun sebaliknya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau  berpendapat majlis ulama tidak sesuai jika diwujudkan dalam parti Umno semata-mata.

Menurutnya, ulama mempunyai maksud yang luas, terdiri daripada semua golongan termasuk lelaki dan wanita,  maka, lebih sesuai diwujudkan majlis ulama negara yang bersifat lebih menyeluruh.

“Ini soal agama, janganlah  berparti sangat. Sekiranya ditubuhkan majlis ulama negara banyak pihak boleh sertainya, jika ia dibuat dalam parti ia tidak sesuai, kerana mereka tidak  menyertai parti. Malah ada yang lebih warak dan alim.

“Islam yang kita amalkan ini membantu dalam mentadbir negara, bukan Islam yang kita uar-uarkan bagi mentadbir parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fahtul Bari Mat Jahaya yang mahukan majlis ulama Umno diwujudkan.

Ia mendapat perhatian selepas Fathul Bari mengutarakannya pada debat anjuran Sinar Harian, `PRU13: Orang muda pilih siapa?’ Khamis lalu.

Mohamad berkata, perkara lebih penting ialah pentadbiran Islam itu perlu diperkukuhkan, lebih baik majlis ulama negara ditubuhkan kerana ia punyai peranan besar dalam menguruskan pentadbiran agama Islam di negara ini, dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga menyarankan bahawa keanggotaan majlis ulama negara itu nanti perlu disertai wakil ulama dari Majlis Agama Islam setiap negeri.

Apapun semuanya bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi” katanya

Tiada ulasan: