Sabtu, 14 Julai 2012

Liong Sik: Saya tiada niat tipu Kabinet

SINAR HARIAN

Tun Dr Ling Liong Sik
Tun Dr Ling Liong Sik
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik tidak mempunyai sebarang niat untuk menipu Kabinet kerana beliau tidak mengarahkan pegawainya untuk menyembunyikan apa-apa fakta berkenaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
  
Peguam Wong Kian Kheong berkata demikian dalam hujahan pembukaan pembelaan diri Liong Sik, 68, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi di sini hari ini.
  
Kian Kheong berkata pada semua masa yang material, Ling Liong telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk  mematuhi penilaian Jabatan Penilaian dn Perkhidmatan Harta (JPPH) berhubung perolehan tanah sama ada dengan cara pemerolehan wajib atau pembelian langsung.
  
Beliau berkata, dua surat daripada Liong Sik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 3 April dan 29 Jun 2002 serta nota Kementerian Pengangkutan kepada Kabinet disediakan oleh pegawai Kementerian Pengangkutan.
  
"Dr Ling (Liong Sik) bertindak selaras dengan syor dan nasihat pegawai Kementerian Pengangkutan. Dr Ling (Liong Sik) pada bila-bila masa tidak mengarahkan atau meminta pegawai Kementerian Pengangkutan untuk menyembunyikan, memberi gambaran yang salah dan mengelirukan apa-apa fakta dalam persediaan dua pucuk surat kepada Tun Mahathir dan dua nota ringkasan bertarikh 29 Oktober 2002 daripada Liong Sik berkenaan pengambilan balik tanah di Pulau Indah.
  
"Tiada siapa memberitahu Dr Ling (Liong Sik) bahawa surat berkenaan, memorandum atau apa-apa bentuk dokumentasi adalah silap, cacat atau tidak tepat dalam apa jua cara," katanya pada hari pertama kes pembelaan itu.
  
Kian Keong juga berkata, cara pengiraan harga tanah dan kaedah pembelian yang diguna pakai adalah sangat teknikal.
  
"Pengiraan tersebut melibatkan kupon atau kadar faedah kadar sasaran aliran tunai diskaun (DCF), penerbitan bon, tiada pembayaran faedah untuk satu tempoh tertentu, faedah terakru dan nota janji hutang...ia sesuatu  yang orang biasa tidak akan mampu memahami dengan mudah," katanya.

Kian Keong berkata, pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan, PKA dan Kementerian Kewangan (MOF) keliru dengan sifat yang sangat teknikal bagi skim pembiayaan tanah tersebut.
  
Manakala surat pegawai JPPH bertarikh 29 September 2000 kepada Kementerian Pengangkutan memberikan tanah tersebut nilai istimewa RM21 setiap kaki persegi (skp) dan tidak sampai tiga hari kemudian pada 2 Oktober 2000, bekas ketua penolong setiausaha Bahagian Maritim di Kementerian Pengangkutan  menulis surat kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan menyatakan nilai istimewa tanah berkenaan sebagai RM25 skp, katanya.
     
"Pihak pembelaan akan menunjukkan bahawa majoriti surat pada ketika itu, memo dan minit mesyuarat mwerujuk kepada nilai istimewa tanah sebanyak RM25 skp. Tiada pembetulan dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, PKA, MOF atau Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang menyebut bahawa RM25 skp itu bukan nilai istimewa sehingga Liong Sik didakwa," katanya.
  
Kian Keong berkata, hanya satu nilai istimewa tanah berkenaan iaitu RM21 skp dan pihak pembelaan akan menunjukkan bahawa RM25 skp dalam surat pegawai JPPH kepada Kementerian Pengangkutan adalah 'nilai muka' bon seperti dikira oleh JPPH dengan mengecualikan enam peratus kupon atau kadar faedah.
  
Peguam itu berkata MOF mempunyai pengetahuan penuh penilaian yang diberikan oleh JPPH tanah berkenaan kerana semua penilaian berhubung tanah, sama ada pemerolehan wajib atau pembelian langsung, disediakan oleh JPPH iaitu sebuah jabatan teknikal di bawah MOF.
  
Beliau juga berkata pada setiap masa material, MOF telah terlibat secara aktif dalam rundingan dengan KDSB berhubung dengan perolehan tanah sama ada di peringkat MOF atau PKA.
  
"Kabinet mengambil kira faktor lain sebelum membuat keputusan membeli tanah daripada KDSB. Dalam erti kata lain, penilaian JPPH bukan alasan tunggal atau tegas mengapa Kabinet memutuskan untuk memberi kelulusan dengan pembelian tanah oleh PKA.
  
"Dr Ling Liong tidak memihak atau bertindak sebagai jurucakap KDSB pada bila-bila masa. Beliau tidak pernah atau mempunyai apa-apa urusan dengan KDSB dan mana-mana pengarah atau pekerja KDSB," katanya.Liong Sik memegang jawatan menteri pengangkutan selama 17 tahun dari 1986.
  
Beliau tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
  
Liong Sik juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
    
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002.
    
Bagi pertuduhan pertama, Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya.
  
Manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
  
Kian Keong juga berkata, Liong Sik telah dinafikan perbicaraan adil dan hak perlembagaannya di bawah Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.
  
"Dakwaan berkenaan peristiwa yang berlaku antara 1999 hingga 2002. Dr Ling (Liong Sik) berundur sebagai menteri pada Mei 2003. Dokumen rasmi berkaitan projek PKFZ diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Dr Ling (Liong Sik) tidak mempunyai sebarang dokumen selepas persaraannya.
  
"Dr Ling (Liong Sik) tidak mempunyai akses kepada rekod melainkan daripada apa yang disediakan oleh pihak pendakwaan untuk tujuan menyediakan pembelaannya. Pada keadaan pembelaan Dr Ling (Liong Sik) telah prejudis secara serius.
  
"Jawatankuasa Kira-Kira Awam mendedahkan beberapa penemuan buruk terhadai pelbagai individu dalam MOT dan PKA (bukan terhadap Liong Sik) berkaitan dengan pembelian tahan itu. Pendedahan buruk seperti itu oleh siasatan awam adalah jelas merupakan penghalang kepada perbicaraan yang adil," katanya.
  
Perbicaraan disambung Isnin ini. - Bernama

Tiada ulasan: