Selasa, 17 Julai 2012

Liong Sik nafi terima bayaran daripada KDSB

SINAR HARIAN
Tun Dr Ling Liong Sik
Tun Dr Ling Liong Sik
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hari ini menyatakan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang pembayaran daripada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dr Ling, 68 yang memberi keterangan bagi membela dirinya di Mahkamah Tinggi di sini turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan syarikat tersebut.

Katanya sejak projek itu dicadangkan, segala urusan berkaitan projek PKFZ adalah di bawah tanggungjawap pegawai kanannya iaitu bekas Ketua Setiausaha Datuk Zaharah Shaari, bekas Timbalan KSU Datuk Abdul Rahman Mohd Noor dan bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim P.Chandrasekaran.

Dr Ling berkata kesemua mereka akan memberi cadangan, nasihat dan menyediakan minit mesyuarat.

Ketika ditanya mengenai surat yang dihantarnya kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 3 April 2002, Dr Ling berkata ia ditulis bagi tujuan mempercepatkan perolehan tanah seluas 1,000 ekar (kira-kira 400 hektar)dan cadangan pembelian tanah secara terus daripada KDSB.
 
Dr Ling berkata kesemua maklumat kadar harga tanah yang dinyatakan di dalam surat berkenaan adalah berdasarkan cadangan pegawai kanan di kementeriannya yang telah merujuk kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Berdasarkan rekod mahkamah, surat kepada Dr Mahathir itu ada manyatakan bahawa kos keseluruhan pembelian tanah seluas 1,000 ekar berasaskan harga RM25 sekaki persegi (skp) adalah sebanyak RM1,088 bilion (termasuk kos infrastruktur asas) dan kos pembangunan tanah dianggarkan sebanyak RM869 juta menjadikan keseluruhan kos projek termasuk faedah RM2.44 billion.

Ling yang merupakan saksi pertama pembelaan turut memberitahu bahawa tiada sebarang memo atau surat susulan yang dihantar kepadanya untuk menyatakan maklumat di dalam surat itu (kepada Dr Mahathir) adalah salah.

"Selepas surat itu dihantar kepada Dr Mahathir, tiada sebarang surat dihantar kepada saya yang menyatakan ia salah ataupun mengelirukan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakilinya.

Sementara itu bagi satu lagi surat yang turut dihantar kepada Dr Mahathir bertarikh 29 Jun 2002, Dr Ling berkata pegawainya juga tidak memaklumkan wujudnya kesilapan pada surat tersebut sehingga kini.

Dr Ling berkata surat itu tidak mungkin akan dihantar kepada Dr Mahathir jika beliau mengetahui terdapat butiran yang salah.

Surat yang ditandatangani olehnya sendiri itu menyatakan tentang cadangan pengambilan balik tanah dan ketika ditanya adakah mempunyai pengetahuan peribadi terhadap surat itu, Dr Ling berkata "Saya tidak tahu kerana saya mempunyai banyak portfolio lain di kementerian untuk diselia."

Dr Ling, didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.
 
Ditanya mengenai surat daripada KDSB kepada Abdul Rahman bertarikh 5 Okt 2000 yang menyatakan pihak KDSB menerima tawaran harga tanah RM25 skp, Dr Ling berkata :"Tidak tahu mengenai surat itu."

Katanya, dalam membuat penilaian harga tanah, pihaknya sentiasa mengikut garis panduan yang ditentukan JPPH dan tiada seorangpun daripada pegawainya memaklumkan bahawa harga nilaian RM25skp adalah salah.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.- Bernama

Tiada ulasan: