Ahad, 29 Julai 2012

Langat 2 hanya selepas penstrukturan semula air

Harakahdaily,
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor terus konsisten dengan pendirian bahawa projek Langat 2 hanya harus dibincangkan sebagai sebahagian daripada pakej penstrukturan semula indusri air di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata demikian melalui kenyataan ringkas menerusi twitternya hari ini.

Beliau juga berkata, Datuk Seri Peter Chin, Menteri Teknologi Hijau dan Air Kerajaan Pusat lebih rela ikut telunjuk CEO bergaji RM425,000 sebulan berbanding kepentingan lebih 5 juta rakyat Selangor.

Atas sebab itulah, katanya, menteri kerajaan BN itu menolak cadangan untuk membuat penstrukturan semula industri air di Selangor.

Kenyatan Khalid ini dibuat ekoran desakan agar kerajaan negeri bersetuju dengan projek Langat 2 yang membolehkan air disalurkan melalui paip dari Pahang ke Selangor.

Bagi menyokong desakan itu, Syabas baru-baru ini membuat kenyataan air akan dicatu di Selangor dan Kuala Lumpur ekoran kekurangan bekalan air.

Bagi Khalid, ugutan catuan air ini hanya untuk menekan kerajaan negeri agar projek Langat 2 dipersetujui kerajaan negeri.

Bagi Selangor pula, kos pembinaan Langat 2 terlalu tinggi dan menyebabkan rakyat akan dibebankan dengan kenaikan bil air selepas ianya berjalan.

Exco kerajaan negeri Selangor Dr Dr. Xavier Jayakumar mendakwa rakyat Selangor bakal hilang hak air percuma sekiranya projek Langat 2 diteruskan.

Ini kerana kos pembinaannya terlalu tinggi dan bakal dibebankan kepada pengguna selepas ini, kata Dr Xavier dalam kenyataannya.

Dr. Xavier memberikan tujuh sebab penting mengenai projek Langat 2 iaitu:-


1) Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Pembinaan Loji Langat 2 adalah bernilai RM8.65 Bilion.

2) Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi dari pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (J.I.C.A) dari Negara Jepun.

3) Bagi membayar bagi kos projek, kerajaan Pusat (melalui pembekal dan pengedar air tunggalnya, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tiada pilihan lagi melainkan mengenakan kadar tariff (harga air) yang tinggi kepada pengguna iaitu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.
(Kita menjangkakan bahawa harga akan akan meningkat sehingga 70% selepas Loji Langat 2 siap sepenuhnya dijangka pada tahun 2014)

4) Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku dimana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu Air Percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain.

5) Harus juga diingat bahawa Syabas adalah sebuah syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ (Profit making company) dan kita tidak nampak Syabas mampu mengorbankan keuntungannya bagi tujuan tersebut.

6) Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air dan dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini maka adalah sukar untuk Syabas memberikan Air Percuma.

7) Harus diingat bahawa rekod kami menunjukkan bahawa kerajaan Negeri membelanjakan RM144 juta setahun bagi pemberian 20 meter padu Air Percuma kepada Rakyat Selangor .

Tiada ulasan: