Isnin, 30 Julai 2012

Lajim Ukin cetus momentum perubahan rakyat Sabah

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) melepaskan semua jawatan dalam Umno disifatkam sebagai 'sejarah baru' politik Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, tindakan berani Lajim itu mampu mencetuskan momentum perubahan yang besar kepada rakyat negeri di bawah bayu itu.

"Ini satu sejarah yang baru dalam politik negeri Sabah dan PAS sangat mengalu-alukan momentum perubahan ini kerana ia sudah tentu memberi impak yang besar kepada kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau didakwa berbuat demikian kerana tidak lagi yakin terhadap kemampuan Umno BN membela nasib rakyat Sabah.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak terperanjat dengan pengumuman lajim, Aminuddin menyifatkan ia sebagai 'menyembunyikan kegerunannya'.

"Najib hanya nak sembunyikan rasa gerunnya sahaja kerana pasti akan ada yang mengikuti jejak langkah Lajim ini," katanya.

Difahamkan, Lajim akan membuat pengisytiharan keluar Umno dan menyertai Pakatan Rakyat di rumah beliau, petang ini.

"Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Hatta Ramli akan ada bersama petang ini dan kita tunggulah pengisytiharan Lajim," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, mood rakyat Sabah mahukan perubahan dan bosan dengan janji kosong BN.

"Kita lihat di Sabah rakyat mahukan perubahan. Mereka sudah bosan dengan BN yang hanya tahu berjanji. Saya yakin kalau Pakatan Rakyat sentiasa menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka, rakyat akan pilih Pakatan Rakyat," katanya.

Tiada ulasan: