Khamis, 5 Julai 2012

Lagi selebriti akan diisytihar sertai PAS 14 Julai ini

MALAYSIA KINI
 
 
 
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan (WP) Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata beberapa tokoh penting dan selebriti popular akan mengisytiharkan menyertai parti itu dalam Himpunan Hijau PAS peringkat WP pada 14 Julai depan.

"PAS Wilayah Persekutuan juga meneruskan fenomena penghijrahan artis dan tokoh politik dan pegawai kerajaan ke dalam PAS.

"Dijangkakan ada beberapa tokoh penting serta selebriti terkenal akan diisytihar ke dalam PAS dalam majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai tinggi kerajaan yang menyertai PAS sebelum ini termasuk bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin dan bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari.

Menurutnya, artis terkenal seperti Hairi Othman dan Zulkifli Ismail akan turut memeraihkan majlis ini nanti.

Suhaimi berkata PAS WP akan meneruskan momentum kejayaan Himpunan Hijau di negeri-negeri dengan penganjuran Xpresi Hijau dan Himpunan Hijau menuju Putrajaya di peringkat WP pada 14 Julai ini.

"Kali ini PAS WP memilih dua lokasi di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpu sebagai pusat penganjurannya.

"Pada sebelah siangnya, Xpresi Hijau akan menggamit warga kota dengan Konvoi Motosikal anak-anak muda Kuala Lumpur mengelilingi bandaraya. Program akan bermula seawal jam 9 pagi dan akan bergerak mengikut kawasan menjelajah Kuala Lumpur.

"Dijangkakan 1,000 motosikal serta 200 kereta akan memenuhi segenap pelusuk Kuala Lumpur dengan pakaian serba hijau serta bendera PAS di kenderaan masing-masing," katanya.

Menurut Suhaimi lagi, antara tetamu utama yag bakal hadir pada program Xpresi Hijau ini adalah Yasir Said, bekas juara Cub Prix Asia bersama dengan pimpinan Alternative Riding Club (ARC) serta pimpinan PAS WP.

Di sebelah malamnya pula, katanya, PAS WP akan menganjurkan kemuncak Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang mempunyai nostalgianya tersendiri, untuk menjadi tuan rumah kepada puluhan ribu warga kota yang menyertai himpunan tersebut.

Dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, disusuli pula Munajat Warga Kota Hadapi PRU ke-13 yang akan dipimpin oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali At Takiri.

Selepas solat Isyak pada jam 9 malam, kemuncak program bermula dengan pidato pimpinan PAS pusat, antaranya Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli jawatankuasa PAS Pusat - Ustaz Idris Ahmad dan Mazlan Aliman yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK).

Yang lainnya ialah Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia, Nasrudin Hassan, Timbalannya Nik Mohd Abduh, Setiasuaha DPP Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Balasubramaniam.

Selain mereka, katanya, PAS WP juga menjemput bekas Pengarah Pelajaran Perak Datuk Adnan Ibrahim, Naib Presiden Kanan Felcra Bhd, Datuk Ramli Buyung, lagenda bolasepak negara Abdullah Ali.

Tiada ulasan: