Selasa, 17 Julai 2012

KPPA: Penamatan Abu Bakar ada kaitan dengan Najib?

Anis Nazri | Foto Wan Zahari,
 
KUALA LUMPUR: Krisis penamatan khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia berikutan surat penamatan perkhidmatan tersebut ditandatangani sendiri Najib mengikut Peraturan 49 Peraturan-
Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, dakwa Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, hari ini.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, Mahfuz berkata umum mengetahui peraturan 49 itu ialah penamatan perkhidmatan pegawai perkhidmatan awam atas kepentingan awam serta gagal tapisan keselamatan.

"Persoalannya, apakah maksud kepentingan awam serta keselamatan negara yang membolehkan peraturan 49 digunakan dalam penamatan perkhidmatan Abu Bakar?

"Najib perlu menjelaskan apakah kesalahan jenayah keselamatan yang menjejaskan kepentingan awam yang dilakukan Abu Bakar itu," tegas Mahfuz.

Tambah Mahfuz, menjadi amalan biasa perkhidmatan awam negara, pegawai tertinggi kerajaan akan dinaikkan pangkat mereka mengikut gred dan kekananan jawatan.

Mahfuz berpandang, Abu Bakar sewajarnya dinaikkan ke jwatan Ketua Setiausaha Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan memandangkan beliau memegang gred Turus dua, berbanding Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang bergred turut tiga.

"Saya melihat terdapat beberapa perkara pelik yang berlaku di sebalik kedua-dua krisis ini.  Penamatan khidmat Abu Bakar dan pelantikan Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara tidak melalui proses rundingan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," kata beliau lagi.

Sebelum itu, beliau menyerahkan surat kepada Najib melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, di parlimen.

Abu Bakar dalam Berita Harian dilaporkan sebagai berkata beliau tidak bersara namun khidmatkan diberhentikan oleh kerajaan.

Berita Harian melaporkan, Abu Bakar berkata beliau menerima surat penamatan khidmatnya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam yang menyatakan bahawa khidmatnya berakhir pada 1 Julai.

Tambahnya, beliau berhasrat untuk bersara pada usia 60 tahun namun disebabkan penamatan awal itu, kuantum pencen dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjanya hanya dikira sehingga 30 Jun tahun ini.

Abu Bakar, 57, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 35 tahun.

Tiada ulasan: