Selasa, 24 Julai 2012

Kononnya Nak Tarik 4 juta Pelancong???

Editor Buletin


Pulau Perhentian yang terdiri daripada Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar menjadi antara lokasi popular bagi pelancong dalam dan luar negara. Ia terletak dalam daerah Besut di Terengganu yang jaraknya kira-kira setengah jam menaiki bot laju dari jeti Kuala Besut.

Pantai putih bersih, air laut jernih kebiruan dan keindahan batu karangnya yang pelbagai menjadi aset utama pulau ini selain mitos naga yang menyelamatkan pulau itu terus menghambat pelancong untuk segera ke sana.

Keindahan alamnya masih belum terusik kerana Pulau Perhentian Besar masih tidak berpenghuni selain daripada pengusaha pusat percutian dan pelancong.

Hutan kehijauan dan karenah sang tupai dan kubung yang cerdik di alam semulajadi mereka membuatkan pengunjung terpaku untuk terus berada di pulau itu bagi tempoh beberapa hari.

RESORT DAN CHALET HADAPI MASALAH ELEKTRIK DAN AIR

Namun ada "sedikit kekurangan" di pulau ini yang menjadi rungutan sesetengah pengusaha resort atau chalet terutama di Pulau Perhentian Besar yang menjadi tumpuan pelancong.

Bekalan elektrik belum sampai ke Pulau Perhentian Besar dan bekalan air bersih pula dinikmati oleh sebilangan kecil pengusaha pusat percutian di pulau itu.

Pengusaha resort dan chalet terpaksa bergantung kepada generator yang menggunakan minyak diesel bagi membekalkan tenaga elektrik dan air telaga tiub di tempat mereka.

Kosnya bukan sedikit. Mencecah hampir RM20,000 sebulan bagi bekalan minyak diesel itu!

Penulis yang menginap di sebuah resort di situ baru-baru ini merasai sendiri gangguan bekalan elektrik itu apabila generator "meragam".

Ketika ditanya kepada Ketua Pegawai Operasi Watercolours Resort Sdn Bhd, Mike Soh Abdullah mengenai perkara itu, beliau mengakui gangguan bekalan elektrik merupakan masalah utama pengusaha resort sepertinya.

RM16,000 SEBULAN UNTUK BELI MINYAK DIESEL

"Macam di resort ini, kami menghabiskan RM16,000 sebulan untuk bekalan minyak diesel untuk menjana elektrik selama 24 jam setiap hari.

"Kami tidak boleh menghadkan penggunaan generator kerana akan menyukarkan pelancong yang menginap di resort ini," katanya.

Mike Soh berkata memang ada cadangan kerajaan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan tenaga elektrik namun entah bila perkara itu akan menjadi kenyataan.

"Saya sudah mengusahakan resort ini hampir 20 tahun lamanya. Bayangkan betapa banyak wang yang terpaksa dihabiskan untuk membeli minyak diesel dan kos penyelenggaraan generator kami," katanya.

Beliau berkata adalah wajar bagi kerajaan menyegerakan pembekalan tenaga elektrik sepenuh masa itu demi kelangsungan masa depan industri pelancongan di pulau berkenaan.

"Ini pulau tumpuan pelancong dunia. Mereka mahukan keselesaan untuk menginap yang kesemuanya memerlukan bekalan elektrik," katanya.

AIR MINUMAN TERPAKSA DIBELI

Mike Soh berkata buat sementara pengusaha sepertinya berharap agar kerajaan dapat membekalkan mereka minyak diesel pada harga subsidi untuk mengurangkan kos yang ditanggung mereka.

Selain itu masalah mendapatkan bekalan air bersih terus menghantui pengusaha pusat-pusat percutian di pulau ini yang terpaksa membeli bekalan air bersih dari tanah besar di Besut yang kosnya bukan murah.

Untuk mandi, resort itu menggunakan air telaga tiub tetapi untuk minum ia terpaksa dibeli.

"Kami juga dimaklumkan bekalan air bersih akan disambungkan dari Pulau Perhentian Kecil tidak lama lagi," katanya.

Seorang pelancong dari Singapura, Zainal Ibrahim, 43, hairan pulau yang terkenal itu masih belum menerima bekalan elektrik sepenuhnya tidak seperti pulau-pulau lain yang pernah dilawatinya.

"Seringkali elektrik terputus dan pendingin hawa tidak berfungsi pada masa tertentu. Ini menjejaskan mood kami dan saya rasa perkara ini perlu diambil perhatian semua pihak," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pulau Perhentian Zainudin Mohamad berkata bagi hampir 2,000 penduduk di kampung berkenaan, yang terletak di Pulau Perhentian Kecil, mereka telah dibekalkan dengan bekalan air bersih dari tanah besar.

"Kami di sini mempunyai tangki simpanan air yang besar dan mencukupi manakala bekalan elektrik 24 jam, kerajaan membekalkan generator khas melalui TNB.

"Di Pulau Perhentian Besar sesetengah chalet atau resort sudah menerima bekalan air bersih cuma bekalan elektrik sahaja yang belum disambungkan lagi," katanya.

PULAU PERHENTIAN PERLUKAN DOKTOR TETAP


Zainudin juga berharap agar kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dapat menempatkan seorang doktor perubatan di pulau itu bagi keperluan kesihatan dan kecemasan penduduk pulau itu.

Walaupun kerajaan telah menempatkan seorang penolong pegawai perubatan (MA) namun ia tidak memadai terutama dalam kes-kes kecemasan.

"Kami penduduk Pulau Perhentian sangat mengharapkan kerajaan dapat menempatkan seorang doktor di pulau ini. Sebelum ini kalau kami mahu bertemu doktor terpaksalah ke Hospital Besut atau ke Hospital Kota Baharu atau Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian yang semuanya agak jauh," katanya.

Ketika Kem Kesihatan Pulau Perhentian 2012 yang dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Kelantan baru-baru ini, pengerusinya Dr Seri Buana Zainudin juga mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan khidmat seorang doktor tetap.

"Ini kerana di Pulau Perhentian yang mempunyai hampir 2,000 penduduk ini wajarlah mereka mendapat seorang doktor sepenuh masa yang sangat diperlukan.

"Di sini kerajaan telah menempatkan seorang MA di Klinik Desa tetapi pada masa yang sama seorang doktor sangat diperlukan selain yang datang memberikan rawatan secara berkala," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: