Khamis, 26 Julai 2012

Kickdefella cabar KGT buat laporan polis

NURRUL HUDA AHMAD LUTFI

Blogger Azidi: Saya tak takut saman Husam
SYED AZIDI
 
 
KOTA BHARU – Susulan kenyataan polis mengesahkan tiada unsur jenayah komersial dikaitkan dalam isu Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT), blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz menggesa pengurusan syarikat itu membuat laporan polis berhubung salah laku bekas pegawai kanan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumannya, polis hanya akan menjalankan siasatan terhadap kes pecah amanah dan penyelewengan syarikat sekiranya laporan polis dibuat pemilik atau Ahli Lembaga Pengarah syarikat sendiri.
“Pihak polis ada memaklumkan bahawa dalam kes pecah amanah dan penyelewengan syarikat, mereka (polis) akan menyiasat jika laporan dibuat oleh pemilik atau Ahli Lembaga Pengarah syarikat sahaja.

“Di sini walaupun KGT anak syarikat Kerajaan Negeri tetapi polis Kelantan tidak mengiktiraf rakyat sebagai pemegang amanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, Syed Azidi atau lebih dikenali sebagai Kickdefella berkata, pihaknya bersedia membantu pengurusan KGT menyediakan bukti di samping bantuan khidmat guaman.

Katanya, bekas pegawai kanan itu didakwa  menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan dengan menggunakan nama KGT demi kepentingan peribadi.

“Laporan polis ini perlu sebab yang pertama di atas menggunakan nama KGT untuk aktiviti yang mempunyai unsur penipuan termasuk menggunakan dana KGT untuk membiayai aktiviti dia yang mana bekas pegawai kanan tersebut mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Polis Kelantan mengesahkan tiada unsur jenayah komersial yang dikaitkan dalam isu penyelewengan KGT.

Pengesahan tersebut dibuat Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang mengatakan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis yang mendakwa KGT terlibat dengan penyelewengan.

Pada 6 Julai lalu, gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan dan seorang blogger membuat empat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu berhubung dakwaan wujudnya skandal dalam KGT.

Tiada ulasan: